‘Terlalu banyak permintaan, terima kasih atas sokongan semua’

SEJAK dibenarkan pulang dari Hospital Bahagia Ulu Kinta minggu lalu, penyanyi dan komposer Yasin Sulaiman dihujani dengan pelbagai tawaran.

Menerusi hantaran dalam akaun Instagram, Yasin atau nama lengkapnya Muhammad Yasin Sulaiman, 51, mendedahkan dia mendapat pelbagai tawaran untuk membuat persembahan, menggubah lagu serta menjadi tetamu jemputan audio siar (podcast).

“Sejak kembali ke alam realiti, terlalu banyak permintaan daripada pihak-pihak yang inginkan khidmat persembahan, podcast, temu bual, penerbitan lagu, peragaan, promosi produk dan sebagainya.

“Jadi untuk memudahkan urusan, saudara Iman Tang telah sudi untuk menguruskan saya.

“Kalau ada apa-apa permintaan, bolehlah hubunginya mulai sekarang. Terima kasih atas sokongan anda semua. Saya amat menghargainya,” tulisnya.

Pelantun lagu Mimpi Laila itu juga dilihat sudah mula kembali ke studio dan bertemu rakan dengan biarpun baru sahaja dibebaskan. Yasin juga semakin aktif dalam media sosial dan baru sahaja membuka akaun TikTok.

Dalam masa yang sama, Yasin turut mendedahkan dia kini dalam proses untuk menyiapkan buku autobiografinya.

Saya dalam proses menerbitkan sebuah buku autobiografi sebanyak 400 muka surat. Sekarang sedang memilih gambar-gambar yang akan dimuatkan di dalam buku tersebut.

“Gambar (keratan akhbar bersama Datuk M.Nasir) ini yang diambil pada tahun 2002 antara gambar yang akan diselitkan,” tulisnya.

Terdahulu, pada 28 April tahun lalu, Yasin dilaporkan dibebaskan dan dilepaskan Mahkamah Rayuan, namun diperintahkan ditempatkan semula di Hospital Bahagia Ulu Kinta sehingga diperkenankan Sultan Selangor.

Keputusan dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir dikemukakan komposer terbabit.

Mahkamah Rayuan turut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan terhadapnya selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok