Bila hargai benda kecil, kita akan sedar nikmat lain – Anzalna

TIDAK perlu terlalu memikirkan perkara di luar kawalan, pelakon Anzalna Nasir menasihati orang ramai agar menghargai setiap nikmat kecil dalam kehidupan serta sentiasa bersyukur dengan rezeki dikurniakan Allah.

Ujar Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md. Nasir, 38, kehidupan tidak semestinya perlu dipenuhi segala-galanya untuk berasa cukup, sebaliknya perlu membuka mata melihat luasnya rezeki Tuhan.

“Apabila kita memilih untuk bahagia dan terus bersyukur, walaupun terhadap perkara paling kecil, kita akan mula menyedari betapa banyaknya rezeki Allah diberikan dalam pelbagai bentuk, termasuk melalui jalan tidak pernah kita jangka.

“Kadangkala, hidup bukan tentang memiliki segala-galanya. Sebaliknya, kita perlu menghargai apa sudah Allah berikan serta mensyukuri nikmat kecil dalam kehidupan,” katanya dalam Threads.

Tambah pelakon drama Mamu Mami Gosip itu,, sikap sentiasa bersyukur mampu mengubah cara seseorang melihat kehidupan, sekali gus membuatkan hati lebih tenang tanpa terlalu membandingkan nasib sendiri dengan orang lain.

“Apabila kita mula menghargai perkara kecil, perlahan-lahan kita akan sedar betapa banyaknya nikmat sudah berada dalam hidup kita.

“Entah bagaimana, akhirnya kita akan menyedari begitu banyak perkara untuk disyukuri,” ujarnya.

Perkongsian tersebut turut mengundang pelbagai reaksi netizen, terutama mereka bersetuju dengan pesanan ibu dua anak itu supaya tidak terlalu larut dalam persoalan hidup sehingga terlupa menghargai perkara sederhana.

“Betul, bersyukur bukan bermaksud berhenti berusaha, tetapi belajar menghargai setiap langkah serta rezeki sepanjang perjalanan hidup.

“Ada masanya perkara kecil itulah membawa kebahagiaan paling besar. Jangan tunggu semuanya sempurna untuk menghargai kehidupan,” tulis antara netizen.

Bagaimanapun, terdapat juga segelintir netizen mengakui bukan mudah untuk sentiasa kekal positif ketika berdepan ujian, apatah lagi yang bukan dalam kelompok ‘berduit’ seperti aktres itu. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok