Akibat Blockout, Scha Alyahya hilang 100,000 pengikut IG

Didakwa masih berdegil menjalinkan kerjasama dengan jenama penyokong Israel, pelakon Scha Alyahya kehilangan jumlah pengikut dalam Instagramnya sejak gerakan Blockout 2024 bermula.

Berdasarkan semakan, Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean Mahadzir Al-Yahya, 41, yang sebelum ini memiliki seramai 6.6 juta pengikut kehilangan sebanyak 100,000 pengikut setakat ini.

Secara tidak langsung, pelakon drama Awan Dania itu kini hanya memiliki jumlah pengikut 6.5 juta apabila netizen mula menyahikut dan menyekat media sosialnya.

Baru-baru ini, nama isteri kepada aktor Awal Ashaari itu disenaraikan dalam gerakan Blockout 2024 selepas didakwa tidak peka dengan nasib rakyat Palestin apabila mempromosikan jenama penyokong Israel.

Selain Scha, suaminya turut menjadi sasaran netizen bersama beberapa selebriti lain termasuk Nadhir Nasar, Nabila Razali, Mira Filzah, Siti Saleha dan Neelofa.

Selepas itu, Scha tampil menegaskan bahawa tiada siapa berhak menghukum pekerjaan dan rezeki seseorang sehingga perlu menghamburkan caci makian bertalu-talu.

Dia juga percaya tiada kuasa untuk menolak rezeki yang telah ditetapkan untuk dirinya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok