Bella tak lalu makan, makin kurus- Puteri Sarah

PELAKON Puteri Sarah Liyana mendedahkan rakannya, Bella Astillah mengalami perubahan fizikal yang ketara berikutan terkesan dengan kontroversi tangkap khalwat membabitkan suaminya, Aliff Aziz dan Ruhainies baru-baru ini.

Puteri Sarah, 39, memaklumkan penyanyi dan pelakon kelahiran Sabah itu hilang selera makan serta tidak dapat tidur yang mengakibatkan penurunan berat badan secara drastik.

Bella masih tidak boleh terima apa yang terjadi. Dia tak boleh makan dan tidur. Dia kurus sangat,” katanya menerusi siaran langsung dalam TikTok semalam.

Selain itu, pemilik nama penuh Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu memohon orang ramai mendoakan Bella kuat apabila sekali lagi diuji dengan kecurangan suami.

Pada hari pertama (semalam) Ramadan ini, jom sama-sama kita doakan Bella Astillah. Semoga dipermudahkan semua urusan.

“Doakan semuanya baik-baik sahaja. Semoga dia kuat dan tabah,” ujarnya.

Sebelum ini, Puteri Sarah bersedia menjadi tempat mengadu Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah ketika rakan sealiran dunia seni itu dilanda masalah rumah tangga.

Terdahulu, Aliff dan Ruhainies ditahan pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di kediaman pelakon wanita itu pada awal pagi Sabtu lalu.

Pihak Jawi mengesahkan perkara itu, namun mereka dilepaskan dengan jaminan selain menunggu kes dibicarakan di mahkamah syariah dalam masa terdekat.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 namun pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dalam tempoh idah.

Pasangan sensasi terbabit dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok