‘Dilamar produksi Bollywood, saya terbuka untuk cuba’

SELEPAS 28 tahun, nama Malaysia kembali dijulang di pentas pertandingan ratu cantik antarabangsa Miss World 2026 apabila wakil negara, Taanusiya Chetty berjaya meraih tempat ketiga.

Bukan itu sahaja, si jelitawan itu turut mendapat gelaran Miss World Asia 2026 dan menjadi pemenang untuk kategori Beauty With A Purpose yang merupakan projek terpenting untuk setiap peserta Miss World.

Kali terakhir Malaysia mengukir kejayaan yang sama adalah pada tahun 1998 menerusi Lina Teoh. Sejak itu wakil negara seakan-akan sukar untuk membolosi kedudukan lima teratas sehingga hadirnya Taanusiya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak pulang ke tanah air sebagai pemenang tempat ketiga, setiap hari Taanusiya nama lengkapnya Taanusiya Chetty Veerapandian, 25, diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya sesi ‘media tour’.

Saya belum dapat rehat secukupnya lagi sejak pulang ke Malaysia. Hampir setiap hari saya memenuhi undangan jemputan daripada pihak media sama ada untuk televisyen, radio, majalah dan surat khabar.

“Tetapi saya gembira kerana saya dapat berkongsi pengalaman dan kisah kejayaan di pentas Miss World. Walaupun sudah lebih sebulan sejak pertandingan berakhir, tetapi sehingga hari ini saya masih dihujani dengan ucapan tahniah,” katanya membuka bicara.

Ditanya bagaimana perasaannya apabila berjaya mencipta sejarah buat Malaysia sekali lagi selepas 28 tahun, kata Taanusiya atau lebih mesra disapa sebagai Taanu ini, dia masih seakan-akan tidak percaya dapat membawa pulang kejayaan berganda buat Malaysia.

“Sasaran saya dalam pertandingan ini adalah untuk memenangi gelaran Miss World Asia. Tetapi tak sangka saya turut memenangi tempat ketiga dan juga pemenang untuk Beauty With A Purpose.

Jadi saya sangat bersyukur dengan kemenangan ini. Malaysia bukan negara ‘powerhouse’ dalam pertandingan ratu cantik dan pertandingan Miss World tidak mudah. Segala aspek akan diberi perhatian terutama kerja sosial untuk projek Beauty With A Purpose,” jelasnya.

Bercerita lebih lanjut tentang projek Beauty With A Purpose, kata Taanu kerja sosialnya sudah dimulakan sejak tahun 2022 lagi.

MEMPUNYAI kontrak selama setahun bersama Miss World, Taanusiya akan memulakan siri jelajah dunianya bermula bulan hadapan dengan Tanzania sebagai negara pertama.

Sesuai dengan profesyennya sebagai seorang guru bahasa Inggeris, Projek Be The Change Malaysia adalah usaha Taanu untuk memastikan kanak-kanak di Malaysia mendapat pendidikan sewajarnya terutamanya buat mereka yang tinggal di kawasan pedalaman khususnya Orang Asli.

“Saya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan untuk membina sekolah di dalam hospital untuk anak-anak orang Asli di Gombak. Ini yang pertama di Malaysia.

Apabila saya bentangkan projek ini di Miss World, ramai yang tertarik kerana di negara mereka belum ada sekolah di dalam hospital.

“Selepas ini saya akan menjelajah mengelilingi dunia bersama organisasi Miss World selama setahun dan saya akan gunakan peluang ini untuk terus memperkasa projek yang saya lakukan,” kongsinya.

Bina jambatan di Sabah

Biarpun sudah berjaya mengukir kejayaan di pentas Miss World, namun Taanu tetap mahu meneruskan kerja-kerja kebajikannya dan bercadang mahu membina sebuah jambatan di pedalaman Sabah.

“Sebenarnya projek membina jambatan di Sabah ini pada asalnya mahu dilakukan sebelum saya ke Vietnam. Tetapi disebabkan faktor cuaca, projek ini terpaksa ditangguhkan.

“Saya mahu membina jambatan untuk memudahkan kanak-kanak di sana pergi ke sekolah. Sekarang ini mereka perlu menggunakan jalan sungai untuk ke sekolah.

Harap-harap bulan Mac tahun depan saya sudah boleh siapkan projek membina jambatan ini. Tetapi saya masih perlukan ramai lagi sukarelawan kerana untuk membina sebuah jambatan tidak mudah. Nak masuk ke kawasan pedalaman juga merupakan satu cabaran. Perlu menggunakan kereta pacuan empat roda,” jelasnya.

Lamaran Bollywood

Melihat sosok jelitawan ini di depan mata sewaktu hari penggambaran, tidak hairanlah kenapa dia dinobat sebagai pemenang tempat ketiga Miss World 2026.

Taanu mempunyai pakej lengkap untuk bergelar seorang pelakon. Miss World Malaysia pula mempunyai rekod cemerlang dalam dunia lakonan antaranya Tan Sri Michelle Yeoh dan primadona Erra Fazira.

TAANUSIYA turut menanam impian menjadi pelakon filem seperti jelitawan dunia, Aishwarya Rai yang selama ini tersemat di jiwa sebagai inspirasi hidupnya. – IQBAL ROSLI

Berbesar hati, Taanu tidak menolak sekiranya ada tawaran dalam bidang lakonan, tetapi dia perlu melunaskan tanggungjawab sebagai ratu cantik terlebih dahulu kerana terikat kontrak selama setahun.

“Aishwarya Rai adalah idola saya. Saya sertai Miss World juga disebabkan terinspirasi dengannya. Jika ada rezeki untuk mengikut jejak langkahnya satu hari nanti, saya terbuka untuk mencuba.

“Sebenarnya sebelum ini pernah ada tawaran lakonan, tetapi saya terpaksa tolak kerana tak dapat berikan komitmen.

Saya juga pernah mendapat tawaran dari Bollywood. Saya mengenali seorang pereka fesyen dari India. Suaminya merupakan seorang pengarah dan penerbit filem Bollywood. Dia tawarkan saya untuk berlakon di sana, tetapi saya kata, mungkin bukan sekarang.

“Bila saya sudah bersedia dah selesai menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ratu cantik, mungkin saya akan ke India dan intai peluang berlakon di sana,” ujarnya.

Makan nasi 5 kali setahun

Alang-alang berpeluang berbual dengan seorang ratu cantik, penulis tertarik untuk mengetahui rahsia kecantikan Taanu.

Siapa yang melihatnya pasti terpana dengan wajahnya yang jelita, kulit yang cantik, rambut hitam ikal mayang, senyuman menawan dan tubuh langsing tinggi lampai.

UNTUK kekal menawan, Taanu sememangnya sangat berdisiplin menjaga rutin pemakanan dan penjagaan kulit antaranya memakai mask mengandungi asid hyaluronik kerana berkulit kering.

Ternyata, Taanu sangat menjaga pemakanannya. Siapa sangka satu ketika dahulu dia pernah mengalami masalah berat badan dan pernah mencapai berat 70 kilogram.

Sejak saya mengamalkan diet, saya kurangkan pengambilan nasi dan lebihkan protein. Dalam setahun saya hanya makan nasi lima kali. Itupun ketika musim perayaan. Kalau hari biasa saya akan ambil protein, fiber dan matcha.

“Bila kita lebihkan protein dalam pemakanan, ia membantu untuk membina otot berbanding karbohidrat. Bila kita berusia, kita akan cepat rasa penat kerana tak bina otot dengan cukup. Jadi pentingnya pengambilan protein dalam diet seharian.

“Untuk penjagaan kulit, saya akan pastikan pakai ‘mask’ yang mengandungi asid hyaluronik setiap hari kerana saya mempunyai masalah kulit kering. Doktor sarankan saya pakai ‘mask’ setiap hari dan sangat membantu untuk mengekalkan kelembapan kulit wajah,” kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Taanu bakal memulakan siri jelajah dunianya bersama organisasi Miss World pada bulan hadapan. Negara pertama yang akan dilawatinya adalah Tanzania. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok