PELAKON Nora Danish meluahkan rasa kesal apabila kenyataannya disunting pihak tidak bertanggungjawab sehingga mencetuskan pelbagai salah faham dalam kalangan masyarakat.
Nora atau nama lengkapnya, Nora Mohd Danish Hanif, 44, mengakui kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) pada masa kini memudahkan penyebaran maklumat yang dimanipulasi, namun menegaskan perbuatan memutarbelitkan kenyataan sehingga mengelirukan orang ramai tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengundang fitnah.
“Bagi sesiapa yang menyunting kenyataan saya tentang pemandu lori, memang tak ‘cool’ lah.
Saya tiada masalah dengan mana-mana pekerjaan akan tetapi kenyataan saya ditukar bukan media tetapi orang yang tidak bertanggungjawab.
“Itu fitnah sama sekali. Tahu zaman AI semua boleh tipu tapi tidak baik mempermainkan perasaan orang,” katanya dalam Threads.
Rata-rata mempertahankan hak pelakon drama Puteri itu sambil menyelar sikap segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang gemar memanipulasi maklumat demi kepentingan peribadi tanpa memikirkan kesan buruk terhadap maruah orang lain.
“AI makin bijak, tapi malangnya ada manusia makin malas nak guna akal. Sunting dan tular boleh namun nak bertanggungjawab atas kerosakan nama orang tiba-tiba semua hilang,” kata peminat.
“Sabar ya, memang mencabar bila kenyataan kena putar belit macam ini tapi saya hormat cara awak mengendalikan dengan tenang,” ujar pengikut.
“Jangan sampai sanggup ubah kenyataan orang dan jauhkan maruah orang. Kekal kuat Nora,” luah peminat lain.
Sebelum ini, Nora dalam sebuah temu bual bersama media berkongsi tidak serik untuk bercinta lagi dan berharap dapat mendirikan rumah tangga dengan lelaki beriman.
Namun, tular sebuah poster dengan tajuk ‘Nora Danish tak takut berkahwin lagi, mahu suami beriman, bawa lori pun tak apa’ yang ternyata palsu. – HIBGLAM

