PELAKON Izara Aishah memohon maaf secara terbuka kepada penyanyi Indonesia Lesti Kejora berhubung hantaran Threads yang mendakwa pasukan penyanyi itu bersikap sombong.
Dalam masa sama, Izara, 34, sedar hantaran tersebut mencetuskan salah faham ramai pihak dan menyesali atas perbuatannya.
“Mengapa saya padam kenyataan peribadi saya tentang pasukan Lesti? Kerana sudah terlalu banyak yang salah faham dan terkait dengan pihak-pihak yang tidak berkaitan.
“Tegur adab orang tetapi lupa adab sendiri apabila menaip di media sosial. Terus terlupa juga adab itu bukan sahaja dari perbuatan bila berdepan dengan seseorang tetapi juga adab di media sosial.
Dengan itu, Lesti, saya mohon maaf atas adab saya yang tidak sempurna menegur secara terbuka sehingga mungkin mencetuskan kesedihan atau lebih teruk, mengganggu mentalmu, Lesti,” katanya dalam Threads.
Selain itu, pelakon drama Vanilla Coklat berharap Lesti memaafkan sikapnya selain sedar kesalahan menyinggung pihak lain merupakan satu kesalahan besar.
Sedar ini adalah dosa daripada saya terhadap kamu kerana saya teringat ‘Sesungguhnya bila menegur seseorang itu sampai ada sedikit rasa tersinggung adalah lebih besar dari kesalahan yang orang ditegur itu lakukan.’
“Harap satu hari kamu akan memaafkan, insya-Allah,” katanya lagi.
Sebelum ini, Izara memuat naik hantaran mendakwa pasukan Lesti bersikap sombong ketika bertemu di Konsert Tradisional gema Bumantara baru-baru ini.
Tidak lama kemudian, dia memadam hantaran tersebut namun netizen sempat menangkap layar sehingga mencetuskan perdebatan antara peminat Indonesia dan Malaysia. – HIBGLAM

