‘Doa saya, jika dia orangnya, maka dialah…’

TIDAK lagi berselindung, pelakon terkenal Nur Fazura mengakui Que Haidar merupakan lelaki paling rapat dengannya ketika ini.

Menurut Fazura atau nama lengkapnya, Nur Fazura Sharifuddin, 43, dia sudah mengenali aktor itu sejak 20 tahun lalu, namun hubungan mereka semakin akrab sejak sama-sama dilantik sebagai duta Jakel tahun ini.

“Ya, boleh dikatakan Que lelaki yang paling rapat dengan saya ketika ini. Kami pun dah lama bersahabat, lebih 20 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi kami pun dah tahu perangai masing-masing luar dalam. Bila jumpa semula di Jakel, kami kembali rapat,” katanya ketika ditemui di Majlis Resepsi Bella Astillah & Syed Saddiq, semalam.

Sebelum ini, foto yang memaparkan kedua-dua keluarga pelakon itu turut tular di media sosial, sekali gus mengundang perhatian ramai.

Mengulas perkara itu, Fazura menjelaskan pertemuan berkenaan sekadar bertujuan mengeratkan silaturahim.

“Apa salahnya keluarga saya dan keluarga Que bertemu untuk mengeratkan silaturahim sebagai umat Islam,” katanya sambil menguntum senyuman.

Tidak hanya itu, Fazura dan Que turut mencuri perhatian apabila saling berbalas komen mesra di media sosial.

Fazura meninggalkan komen ‘mine’ pada video Que, manakala aktor itu membalas dengan komen ‘baby’ pada hantaran pelakon berkenaan.

Bagaimanapun, pelakon filem Pisau Cukur itu menjelaskan komen berkenaan sekadar gurauan antara mereka.

Dalam pada itu, selepas pasangan BASS selamat bergelar suami isteri, ramai peminat berharap perkara sama turut berlaku kepada Fazura dan Que.

Namun, Fazura mengakui tidak berani membuat sebarang kenyataan mengenai soal jodoh kerana baginya, apa sahaja boleh berlaku pada masa hadapan.

“Saya dan Que sudah sepakat, doa kami adalah jodoh yang Allah redai. Nak cakap pasal jodoh, kami tak berani nak sebut.

“Tetapi terima kasih kepada yang mendoakan kami. Doa saya, jika dia orangnya, maka dialah. Kalau orang lain, orang lainlah. Kita doakan yang baik-baik,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fazura kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah filem di bawah arahan Syafiq Yusof di mana dia membawakan watak utama. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok