USAHAWAN Noor Nabila mencuri tumpuan ramai apabila berkongsi video kunjungan kekasih bekas suaminya, Sharnaaz Ahmad iaitu Amelia Christie ke kediamannya semalam.
Menerusi perkongsian tersebut, Amelia dilihat menghabiskan masa di rumah Nabila dengan bermain bersama Jebat Jayden dan menyiapkan juadah buat mereka.
“Terima kasih Amelia untuk hari ini (semalam). Jayden manusia terpaling gembira,” kata kakak kepada selebriti Neelofa itu ringkas.
Dalam video yang dikongsi Nabila, Amelia juga dilihat tidak kekok melayan Jayden bermain badminton dalam rumahnya.
Hubungan baik yang terjalin itu sekali gus meraih pujian orang ramai yang menyifatkan Nabila sangat profesional dan matang.
“Nabila sangat bagus, dulu dengan anak Engku Emran pun dia baik. Sekarang kekasih bekas suami pun layan dengan baik.
“Sepertinya Amelia sudah dapat lampu hijau.
“Untung Jayden ada ibu dan bakal mak yang pandai masak. Seronok tengok Jayden gembira,” komen netizen.
Terdahulu, Nabila pernah mendirikan rumah tangga bersama Sharnaaz pada Mac 2017, namun disahkan bercerai sekitar Julai 2020.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan Jebat Jayden yang kini berusia enam tahun.
Sementara itu, hubungan cinta Amelia dan Sharnaaz mula dapat dihidu apabila aktres itu kerap menemani kekasihnya di beberapa acara hiburan.
Difahamkan, hubungan mereka mula rapat selepas menjalani penggambaran sebuah drama. – HIBGLAM