Pandainya Jebat Jayden, ramai puji

ANAK kepada pelakon Sharnaaz Ahmad dan usahawan Noor Nabila, Jebat Jayden mencuri perhatian ramai apabila memperdengarkan bacaan surah al-Quran dalam sebuah perkongsian video.

Menerusi rakaman tersebut, Jayden dilihat membaca surah Quraisy dan surah al-Fil dengan penuh yakin, sekali gus mengundang rasa kagum netizen.

Nabila turut berseloroh anak lelakinya seakan-akan mahu mengejar pencapaian sepupunya, Bilal, anak kepada selebriti Neelofa, selepas sebelum ini kanak-kanak itu turut mendapat perhatian menerusi kebolehan menghafaz beberapa surah.

Namun, bukan soal persaingan menjadi perhatian Diva, sebaliknya kelancaran Jayden mengalunkan ayat suci al-Quran cukup menyejukkan perut ibu. Diva tidak keseorangan, rata-rata netizen turut memuji bacaan kanak-kanak berusia lapan tahun itu, malah ada menyifatkan sebutan serta makhrajnya sudah tahap baik.

Bacaan tajwidnya turut menerima pujian, selain ramai menitipkan doa agar kanak-kanak itu terus mendalami ilmu agama dan menghafaz lebih banyak surah.

Diva pun tumpang bangga. Sejuk hati melihat anak selebriti mengaji, bukan sekadar berlumba mengejar pentas pertandingan nyanyian atau populariti media sosial.

Bagi Diva, pendedahan agama sejak kecil ibarat bekalan emas buat seorang anak. Populariti boleh datang dan pergi, tetapi ilmu serta pegangan agama mampu menjadi bekal sepanjang hayat.

DIVA: Bertuah betul ‘bridesmaid’ Bella Astillah. Macam-macam barang dapat dalam satu beg.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok