PENYANYI dan komposer, SZA atau nama sebenarnya, Solana Imano Rowe menjadi tumpuan apabila menjadi artis paling banyak menerima pencalonan Grammy Awards edisi 2024.
Kemuncak acara yang bakal berlangsung di Los Angeles pada 4 Februari tahun depan itu menyaksikan sebanyak 94 kategori dipertandingkan.
SZA dicalonkan bagi kategori Album Terbaik untuk album studionya berjudul SOS dan Rakaman Terbaik bagi lagu Kill Bill. Pencapaian sembilan pencalonan mendahului kedudukan beberapa penyanyi lain termasuk Taylor Swift serta Miley Cyrus.
Tujuh lagi pencalonan diraihnya adalah Lagu Terbaik, Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik, Lagu R&B Terbaik, Persembahan R&B Terbaik, Persembahan Rap Terbaik dan Persembahan Rap Melodi Terbaik serta Persembanan Duo/Berkumpulan Country Terbaik.
Tahun ini menjadi tempoh yang cukup gemilang buat penyanyi dan komposer versatil berusia 34 tahun itu yang juga beragama Islam.
Selain mendominasi pencalonan Anugerah Grammy, SZA sebelum ini meraih gelaran Hitmaker of the Year 2023 oleh majalah Variety.
Pada acara muzik Grammy Awards tahun lalu SZA membawa pulang trofi Persembahan Pop Duo/Berkumpulan Terbaik menerusi lagu Kiss Me More duet bersama Doja Cat.
Sementara itu, komposer dan penulis genre R&B, Victoria Monét mencipta sejarah tersendiri apabila album debut sebagai penyanyi yang meraih tujuh pencalonan termasuk kategori utama, Artis Baharu Terbaik.
Bintang pop sensasi, Taylor Swift pula meraih tujuh pencalonan secara keseluruhan sebagai komposer menerusi Anti-Hero, sekali gus mengatasi rekod yang dipegang Paul McCartney dan Lionel Richie, masing-masing mempunyai enam pencalonan bagi kategori penciptaan lagu.
Swift juga berada dalam senarai calon kategori Album Terbaik menerusi Midnights, seterusnya menyamakan kedudukan dengan Barbara Streisand sebagai calon terbanyak bagi artis wanita dalam kategori Album Terbaik.
Sekiranya Midnights memenangi Album Terbaik, Swift bakal menjadi artis pertama yang memenangi anugerah berkenaan sebanyak empat kali.