Olivia Rodrigo pakai baju Palestin, sumbang dana RM42 juta

PENYANYI terkenal Olivia Rodrigo memilih untuk mengangkat seni dan warisan Palestin menerusi penampilannya pada festival muzik sulung, Daisy Chain Fields di Great Park, Irvine, California, Amerika Syarikat, semalam.

Olivia atau nama sebenarnya Olivia Isabel Rodrigo, 23, tampil anggun dalam gaun mini merah jambu lembut hasil tangan label fesyen Palestin, Nöl Collective, sempena sesi media sebelum festival berlangsung.

Busana istimewa berkenaan sarat dengan sulaman tradisional Palestin, tatreez, menampilkan motif burung serta rangkaian bunga daisi bersambung, selari dengan nama dan konsep festival berkenaan.

Rodrigo melengkapkan penampilan dengan kasut tumit tinggi Mary Jane vintaj daripada Gucci serta loket berwarna perak, sekali gus menyerlahkan gaya feminin sederhana tetapi penuh makna.

Untuk rekod, Nöl Collective merupakan label fesyen Palestin diasaskan pereka Palestin-Amerika, Yasmeen Mjalli dan berpangkalan di Ramallah.

Jenama berkenaan bekerjasama dengan bengkel jahitan keluarga, studio artisan serta koperasi wanita di seluruh Palestin, dengan seni kraf tradisional menjadi teras setiap rekaan.

Nama Nöl diambil daripada perkataan Arab bermaksud ‘alat tenun’, manakala koleksi mereka menggabungkan teknik sulaman tatreez, tenunan tangan serta pewarnaan menggunakan bahan semula jadi.

Pemilihan busana buatan Palestin itu hadir selepas Rodrigo sebelum ini beberapa kali menyuarakan keprihatinannya terhadap situasi kemanusiaan di Gaza, selain menyokong usaha bantuan untuk rakyat Palestin.

Lebih bermakna, penampilan tersebut turut hadir seiring dengan komitmen amal besar diumumkan Rodrigo menerusi penganjuran Daisy Chain Fields.

Sebelum festival bermula, pelantun lagu Drivers License itu mengumumkan sumbangan RM42 juta kepada 10 pertubuhan bukan berasaskan keuntungan, khususnya organisasi memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak perempuan, kesihatan serta pemerkasaan golongan tersebut.

Festival sulung berkenaan menghimpunkan barisan artis wanita termasuk Chappell Roan, Doechii, Mitski, Bikini Kill dan The Breeders, selain penampilan Stevie Nicks, Karen O serta Sarah McLachlan.

Daisy Chain Fields turut mendapat inspirasi daripada festival muzik Lilith Fair, acara berteraskan penggiat wanita diperkenalkan McLachlan pada era 1990-an.

Sumbangan amal festival itu kemudian berkembang lebih besar apabila Melinda French Gates mengumumkan komitmen tambahan kira-kira RM42 juta menerusi Pivotal Ventures ketika acara berlangsung.

Perkembangan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan dana dikumpulkan menerusi festival berkenaan mencecah RM84 juta bagi menyokong pelbagai inisiatif berkaitan hak serta kesejahteraan wanita. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok