ST12 tetap ‘sihir’ orang muda siapapun vokalisnya

ATMOSFERA Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi muzik galau meruntun jiwa kumpulan negara seberang, ST12 yang terus hidup dalam aliran muzik tanah air sehingga sekarang.

Segar dan remaja. Dua kata tepat menggambarkan kegamatan malam konsert ST12 Live Concert in Kuala Lumpur apabila dibanjiri kehadiran lebih 2,000 peminat yang hampir keseluruhannya anak-anak muda dan juga remaja.

Bayangkan, segenap ruang dipenuhi dengan ‘tenaga muda’ yang sudah sedari awal tidak sabar menanti kumpulan kegemaran mereka itu.

Konsert yang berdurasi sekitar dua jam itu tidak sedikit pun mencetuskan rasa bosan atau ‘lemau’.

Penonton bagai tidak keruan apabila suntikan muzik galau kekinian bergema memecahkan kesunyian segenap ruang.

Malam galau

ST12 menampilkan Aris (Indonesian Idol) dan Firman Siagian di posisi vokalis untuk turut bergabung energi mempamerkan kelunakan suara masing-masing.

Khalayak tahu untaian lagu hits ST12 bakal membawa mereka ke terowong masa seiring imbasan semula kisah cinta yang mungkin pernah mekar menerusi latar lagu mereka.

Pentas dikendalikan terlebih dahulu oleh Aris dengan tenaga semaksima mungkin. Membuka pentas dengan menyanyi seraya melompat ke kiri dan kanan pentas sama sekali tidak membuatkan vokalis suara seksi itu kehabisan nafas.

ST12 menhiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert ST12 Live Concert in Kuala Lumpur di Zepp KL, baru-baru ini. – AFIQ RAZALI.

Antara repertoire persembahan adalah PUSPA, Rasa Yang Tertinggal dan Cukup Sampai Disini diikuti dengan lagu yang membuat ribuan penonton galak melompat dan menari seperti Terlalu, Jangan Pernah Berubah, Cinta Tak Harus Memiliki dan Putri Iklan.

Dalam pada rancak jua larut asyiknya persembahan malam tersebut, ST12 mengambil kesempatan menyuarakan solidariti mereka terhadap isu peperangan yang berlaku ketika ini menerusi lantunan lagu KebesaranMu ditujukan khusus kepada seluruh rakyat Palestin.

Lebih menyentuh jiwa, persembahan lagu tersebut turut diiringi paparan klip video situasi genting yang berlaku di negara bergolak itu membuatkan gelanggang konsert sunyi sepi sejenak barangkali sebagai tanda menghormati.

Tiba giliran Firman membawa ‘roh’ ST12 untuk menguasai pentas dengan alunan lambakan lagu popular band tersebut antaranya Cari Pacar Lagi, Saat Terakhir, Kepingan Hati, Kehilangan dan Putih-Putih Melati.

Jujurnya, penulis terkedu dek energi ditampilkan Firman yang ternyata membuat penonton bagai histeria tidak henti-henti bersorak.

Agak bingit, namun cukup mengerti keterujaan jiwa anak muda tidak mungkin dapat ditahan lagi yang turut menyanyi sepuas hati ketika persembahan dilunaskan.

Tidak terhenti di situ, adrenalin konsert dideraskan dengan kemunculan Hazama dari belakang pentas sekali gus menyambung nyanyian Firman yang sedang mendendangkan lagu hits hafalan setiap lapisan generasi penonton berjudul Tiara.

Kehadiran Hazama bertujuan mempromosikan lagu terbaharunya bersama ST12 berjudul Harapan Tak Kunjung Usai yang turut dipersembahkan malam itu.

Tidak membiarkan peminat berehat walaupun sejenak, momentum diteruskan dengan lagu Aku Masih Sayang yang begitu popular dalam kalangan remaja putus cinta.

Lantas, nyanyian sepenuh hati kumpulan dari negara seberang itu menjadi antem di bibir penonton yang sudah sebati melumati lirik dan melodi sekian banyak masa.

ST12 tanpa Charly

Pada akhir konsert, Aris dan Firman kemudian menutup tirai persembahan dengan nyanyian lagu Isabella yang pernah dipopularkan band legenda negara, Search.

Jujur, Zepp Kuala Lumpur pada malam itu bergema dengan sorakan penuh tenaga tanpa henti penonton membangkitkan lagi gelora jiwa kacau yang berlegar memecah kesunyian.

Konsert berlangsung meriah meskipun ketiadaan Charly sebagai vokalis. Malah, pemain dram merangkap pengasas ST12, Pepep menegaskan, bahawa band tersebut akan tetap meneruskan perjalanan mereka dalam arena seni dengan keistimewaan sendiri.

“ST12 bukan lagi sebagai band tapi adalah sebuah brand (jenama). Kami berkolaborasi dengan beberapa buah negara antaranya Malaysia, Filipina dan Singapura.

“Kami tetap move on dan ST12 akan tetap berjalan dan berkarya buat peminat muzik, siapa pun vokalis atau siapa pun ahlinya, ST12 tetap ST12,” ujarnya ketika sesi sidang media.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok