Iman Troye jana RM2.5 juta, berstatus Diamond Artist

BUKAN sekadar terus berkarya, penyanyi Iman Troye membuktikan dirinya memiliki nilai komersial tersendiri apabila diiktiraf sebagai Diamond Artist selepas menjana pendapatan RM2.5 juta sepanjang 2025.

Pengiktirafan itu diumumkan XO House bersempena pelancaran video muzik (MV) terbaharu Iman bersama Asslahierah, Jung Jung Inai yang berlangsung di XO House Sdn. Bhd., baru-baru ini.

Lebih menarik, sebelum MV berkenaan dilancarkan, Jung Jung Inai terlebih dahulu mencatatkan lebih 1.5 juta penstriman, sekali gus memperlihatkan sambutan positif terhadap karya berkenaan.

Jung Jung Inai menampilkan gabungan muzik tradisional Melayu dengan sentuhan bunyi kontemporari, sekali gus memberikan nafas baharu kepada melodi yang cukup sinonim dengan warisan tempatan.

Lagu yang ditulis dan dicipta Amirul Azhar, Amir Firdaus serta Iman Alyssa itu diterbitkan Adib Hamdi, manakala produksi muzik dikendalikan Adib bersama Amirul Azhar.

Dalam pada itu, pengiktirafan sebagai Diamond Artist mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Iman apabila dia merupakan artis pertama yang ditandatangani XO House sejak label berkenaan memulakan operasinya.

Sepanjang enam tahun dalam industri muzik dan hiburan tempatan, Iman bukan sahaja membina nama menerusi karya muzik, malah turut menyerlah sebagai penghibur serta figura yang mempunyai daya tarikan komersial.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas XO House, Adib Hamdi menyifatkan pencapaian Iman sebagai sesuatu yang cukup membanggakan, lebih-lebih lagi apabila menyaksikan perkembangan penyanyi itu sejak awal kerjayanya.

Iman mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam XO House kerana dia merupakan artis pertama yang kami tandatangani ketika kami memulakan perjalanan ini.

“Melihat sejauh mana dia telah berkembang sepanjang enam tahun ini sehingga mencapai RM2.5 juta hasil pendapatan pada 2025 merupakan sesuatu yang sangat membanggakan bagi saya.

“Kami melihat perkembangan Iman bukan sahaja sebagai seorang artis, tetapi juga penghibur dan bakat komersial yang kuat.

Pengiktirafan sebagai Diamond Artist ini mencerminkan segala usaha, konsistensi dan dedikasi yang telah diberikan olehnya,” katanya.

Bagi Iman, pencapaian tersebut hadir seiring dengan perkembangan kerjayanya yang semakin luas, termasuk menerusi kerjasama bersama pelbagai jenama multinasional.

Terbaharu, menerusi Jung Jung Inai, Iman mengambil pendekatan berbeza apabila bergandingan dengan Asslahierah dalam mengangkat elemen muzik tradisional Melayu menerusi susunan yang lebih moden dan santai.

Karya itu sekali gus menjadi satu lagi langkah penting dalam perjalanan seni Iman, selain memperlihatkan keberaniannya meneroka ruang kreatif yang lebih segar. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok