“SAYA tak pernah tergamak pisahkan anak dan mak.”
Demikian respons penyampai radio Fizi Ali yang berang dengan saranan netizen agar membiarkan anaknya, Ameena Sofia dijaga bekas isterinya, Shakilla Khoriri dan tumpukan perhatian kepada anak tiri.
Tegas Fizi, sebagai bapa dia ada hak menjaga dan meluangkan masa bersama Ameena meski sudah membina kehidupan baharu.
“Saya nak hak saya sebagai seorang ayah yang nak bersama dengan anaknya.
“Kenapa perlu lupakan anak saya setelah apa yang saya ada? Insya-Allah Ameena, daddy jumpa awak nanti,” katanya membalas komen netizen menerusi Instagram Story.
Pada masa sama, personaliti penyiaran berusia 34 tahun meminta individu atau mana-mana pihak tidak melontarkan pandangan membabi buta.
Katanya, perkara yang disebut mereka kadang-kala tidak masuk akal apabila lari daripada fakta selain seakan-akan mengetepikan hukum hakam agama.
“Tolonglah, sebelum bercakap kena banyak membaca dan ambil tahu fakta. Kadang-kadang apa yang orang cakap ada melanggar fakta, itu yang menyedihkan.
“Saya pun tak bagus dalam agama, tapi apa yang asas insya-Allah saya ambil tahu,” luahnya.
Sementara itu, Fizi turut berkongsi paparan tangkap layar komen tanpa rasa empati seorang pemilik akaun Instagram yang menggesa dirinya menunggu kelahiran zuriat bersama isteri baharu, Siti Zulaikha.
“Dah ada anak tiri. Fizi layan dan bagi kasih sayang dekat anak tiri. Buat anak baharu. Biar la Ameena dengan ibu dia. Jangan dipisahkan,
“Bersyukurlah Ameena dijaga dengan ibu yang sangat sayang dan bertanggungjawab dengan anak dia. Hidup saja dengan aman. Dunia ini tak lama pun. Asalkan nafkah anak itu jangan lupa. Berbahagialah,” tulis netizen terbabit.
Sabtu lalu Fizi meluahkan rasa terkilan apabila tidak dapat bertemu Ameena pada hari graduasi anaknya itu dan mengajukan perkara berkenaan kepada peguamnya untuk diambil tindakan.
Dia dan Shakilla yang bercerai pada Disember 2021 selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga sebelum ini mengakui mengambil giliran menjaga anak tunggal mereka.
Fizi bertemu jodoh kali kedua dengan ibu tunggal anak satu yang juga ahli perniagaan, Siti Zulaikha pada 23 Oktober lalu.
– HIBGLAM