PELAKON Azhar Sulaiman melahirkan rasa terkilan apabila melihat dua pendakwah terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus (UAI) dan Ustaz Muhaizad Muhammad berbalah pendapat berkaitan konflik dan perjuangan Hamas di Gaza, Palestin ketika ini.
Menurut Azhar, perbalahan tersebut membuatkan umat Islam di negara ini berpecah-belah kerana perbezaan pendapat berkaitan isu yang kini menjadi bualab hangat seluruh dunia.
Tidakkah anda berasa berada sedih dan kecewa dengan keadaan sekarang apabila dua agamawan bercanggah pendapat tentang Palestin dan cara perjuangan Hamas.
“Namun, yang menjadi mangsa ialah kami yang beragama Islam di Malaysia. Hendak ikut cakap siapa sekarang?” katanya dalam Instagram hari ini.
Lebih mengecewakan, situasi tersebut sekali gus mencetuskan ‘perang’ pendapat dalam kalangan pengguna media sosial hari ini.
Orang lain berperang tetapi kita pula berbalah di sini dalam media sosial tentang pendapat siapa lebih betul.
“Semoga Allah SWT akan membantu membuka mata kita untuk memahami isu sebenar,” ujarnya.
Menjengah ruangan komen, rata-raya netizen turut menasihatkan Azhar yang sebelum ini lantang bersuara agar terbuka menerima pandangan golongan berilmu berkaitan isu tersebut.
Golongan ulama juga ada pendapat berbeza apatah lagi kita orang biasa.
“Sebab itu kalau tiada ilmu jangan sibuk nak campur tangan,” komen netizen.
Sebelum ini, Azhar meraih kecaman ramai apabila mempersoalkan strategi peperangan Hamas yang dianggap tidak dirancang dengan baik kerana mengorbankan ribuan nyawa termasuk kanak-kanak. – HIBGLAM