PENINGKATAN kes buli yang semakin kerap membabitkan pelajar sekolah kebelakangan ini turut mendapat perhatian penyanyi, Datuk Nora Ariffin yang bimbang dengan tahap keselamatan anak-anak di institusi pendidikan.
Mengambil pendirian tegas, Nora atau nama lengkapnya Norafizah Ariffin, 53, berkata, isu tersebut tidak wajar dipandang ringan atau diletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak tertentu sahaja, sama ada sekolah kerajaan, agama mahupun swasta.
Sejak kebelakangan ini, kita semakin kerap mendengar tentang kes buli yang melibatkan pelajar sekolah. Sebagai ibu bapa, sudah tentu timbul persoalan, sejauh mana anak-anak kita benar-benar selamat apabila berada di sekolah?
Memuatkan artikel berkaitan…
“Saya tidak mahu menunding jari kepada sekolah kerajaan, agama, swasta atau mana-mana institusi tertentu.
“Kes buli boleh berlaku di mana-mana. Tetapi apabila sesuatu kes berlaku, kita perlu melihat sejauh mana pihak sekolah mempunyai sistem pencegahan, pemantauan, pelaporan dan tindakan yang benar-benar berkesan,” katanya dalam Threads.
Dalam pada itu, pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu menyatakan keselamatan pelajar adalah komitmen kolektif yang memerlukan kerjasama erat antara ibu bapa, pihak pentadbiran sekolah dan pihak berkuasa.
“Anak-anak juga perlu tahu bahawa mereka boleh bercakap dan melaporkan apa yang berlaku tanpa rasa takut dan terancam.
“Ibu bapa pula perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak dan pihak sekolah. Jangan tunggu sehingga anak kita sendiri menjadi mangsa, baru nak ambil cakna.
Keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama, ibu bapa, pihak sekolah dan pihak berkuasa,” jelasnya.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan pelajar tingkatan dua sebuah sekolah ditemukan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia
Mangsa didakwa dipukul di bahagian kaki menggunakan paip getah selain dibelasah.
Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN). Kematian mangsa dikaitkan dengan kejadian buli di sebuah sekolah yang menyediakan kemudahan asrama. – HIBGLAM

