[VIDEO] Panggil saya Intan, bukan Datin – Intan Najuwa

MESKI kini berstatus Datin selepas menjadi suri hidup ahli perniagaan berpangkat Datuk, pelakon Intan Najuwa enggan terikat dengan gelaran itu.

Akui wanita berusia 26 tahun itu, dia berasa janggal dengan gelaran tersebut dan lebih selesa orang sekeliling memanggilnya Intan.

Bahkan pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu berpendapat gelaran tersebut tidak memberi sebarang kelebihan kepadanya.

“Jujurnya saya rasa agak canggung bila orang panggil saya Datin. Saya masih Intan yang biasa seperti sebelum ini.

“Saya rasa kekalkan sahaja panggilan Intan, tak perlu panggil Datin sebab bagi saya gelaran itu tidak membawa apa-apa kelebihan.

“Kawan-kawan pun saya marah bila mereka panggil saya Datin,” katanya lagi.

Berkongsi kehidupannya sebagai isteri orang, Intan tidak menafikan banyak perubahan besar berlaku dalam hidupnya terutama dalam membuat keputusan.

Ini kerana sebelum ini dia sudah terbiasa membuat keputusan dan melakukan semuanya sendiri.

“Sebelum ini, saya sudah terbiasa berdikari dan buat keputusan sendiri. Semua benda akan ikut cara saya.

“Sekarang, status saya adalah seorang isteri dan perlu ‘tone down’. Perubahan itu sangat ketara dalam hidup,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Jelasnya, kerana sudah terbiasa melakukan banyak hal berseorangan, dia mengakui adakalanya terlupa sudah mempunyai suami yang perlu diminta pendapat untuk sesuatu perkara.

“Macam sebelum ini mak saya ada tanya sesuatu untuk minta pendapat tetapi saya terlupa sudah ada suami. Itulah perubahannya.

“Jadi, semua perkara perlu tanya dan berbalik kepada suami sekarang ini. Sudah tidak boleh buat keputusan sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, Intan Najuwa selamat bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Ahmad Asraf Azman, 39, dengan sekali lafaz pada 18 Ogos yang lalu.

Pelakon Tak Sempurna Mencintaimu itu menerima mas kahwin bernilai RM20,000 dan juga hantaran bernilai RM222,000. Angka dua menjadi pilihan sebagai lambang tempoh perkenalan antara mereka. – HIBGLAM

View this post on Instagram

 

A post shared by HibGlam (@hibglam.com.my)

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok