Jadi hantu, Marsha temui sesuatu…

SOSOK artis serba boleh Marsha Milan bukanlah asing dalam radar industri hiburan tanah air. Pelbagai cabang seni telah diceburi demi bereksperimentasi dengan kemampuan diri.

Awalnya mengukir nama melalui program realiti nyanyian lalu beralih dan mula mekar dalam dunia lakonan dan pengacaraan, usaha keras Marsha selayaknya dipuji.

Selain mempunyai raut wajah jelita seiring tubuh tinggi lampai, perlu diakui anak jati Sabah itu tanpa gagal memaku pandangan penonton dengan ekspresi dan pembawaan watak tidak kira dalam lakonan mahupun nyanyian.

Barangkali dek penjiwaan emosi dan roh seni yang kuat dalam setiap karakter yang dibawa menyebabkan bintang berusia 38 tahun itu sering ditawarkan watak seram atau menjadi hantu.

Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Marsha Milan Londoh itu tidak berkecil hati apabila kerap diajukan karakter sedemikian meskipun kebanyakan watak hantu yang ditawarkan tidak menonjolkan wajahnya yang asli.

Jelasnya, dia enggan berpasak pada rupa paras semata-mata, sebaliknya ingin menonjolkan bakat lakonan versatil bagi menghidupkan karakter, sekali gus memberi kesan kepada khalayak.

“Walaupun berlakon watak hantu yang tidak menampakkan wajah sebenar, tetapi saya gembira dan teruja setiap kali membawa watak seram sebegitu.

“Saya temui sesuatu yang menarik ketika jadi hantu, daripada situ saya dapat mencabar kekuatan lakonan untuk menghidupkan watak dengan penjiwaan yang sempurna tanpa bantuan rupa paras.

MARSHA melakonkan sendiri babak merangkak dari dalam almari, tergantung di dinding dalam filem terbaharunya, Rahsia.

“Secara jujurnya, jika ditawarkan lagi watak hantu untuk naskhah genre seram, saya tiada masalah, bahkan mungkin dengan cara yang lebih baik dan berkualiti berkat lakonan sebelum ini,” katanya panjang lebar.

Selain itu, pelantun lagu Kembali Terang itu berkongsi keterbukaannya membawa watak yang tidak bergantung harap kepada wajah demi mencari titik keseimbangan dan kepuasan sebagai pelakon .

“Sebagai seorang aktres, saya kena cari kepelbagaian dalam lakonan, kalau boleh semua watak kena cuba supaya lakonan berkembang seiring pengalaman.

“Bahkan berlakon bagi saya bukan semata untuk jual wajah tapi lebih kepada mencari kepuasan dan meningkatkan kredibiliti dalam seni lakonan,” tambahnya.

Ditanya sama ada terbawa-bawa watak seram ketika di rumah, Marsha akui terpaksa mengambil ruang dan berjauhan seketika dengan suami supaya tidak mengganggu konsistensi watak.

“Ketika bawa watak seram yang menuntut penjiwaan penuh secara konsisten, saya cuba sedaya upaya untuk tidak meluangkan banyak waktu dengan suami kerana saya bimbang akan terbawa-bawa watak tersebut.

“Mujurlah suami saya memahami komitmen kerja saya sebagai seorang pelakon yang selalu bawa watak sebegitu.

“Lagi pula saya berkomunikasi seperti biasa sahaja dengan dia, cumanya ada waktu saya asingkan diri untuk menjiwai

karakter supaya saya pergi berlakon nanti, mudah untuk jayakan watak tersebut,” ujarnya.

Bercerita tentang perkembangan terbaharu, Marsha kini sedang sibuk dengan promosi filem Rahsia versi reboot arahan Shamyl Othman yang bakal menghiasi pawagam bermula 10 Ogos ini.

Dalam filem tersebut, Marsha memegang watak Melur yang juga merupakan watak hantu dan menariknya, hampir semua babak ekstrem seperti aksi merangkak dan tergantung di dinding dilakukan sendiri.

“Demi cari kelainan dalam watak, hampir 90 peratus babak lasak hantu itu saya lakonkan sendiri seperti merangkak keluar dari bawah almari dan tergantung melekat di penjuru dinding.

“Saya juga ada hantar video pergerakan sebagai cadangan kepada pengarah untuk menghidupkan lagi watak hantu, namun pada masa sama, saya pastikan semua pergerakan itu selamat untuk dilakukan,” ujarnya.

Selain Marsha, naskhah tersebut juga turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Nabila Huda, Eman Manan, Fikry Ibrahim, Qistina Raisah, Syed Ali Murtadha dan Rashidi Ishak.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok