‘Vokal terbaik tak perlu menjerit, Masha sudah buktikan’ 

“KEMENANGAN Marsha membuktikan tak perlu menjerit untuk menang anugerah vokal terbaik”.

Demikian penjelasan ketua juri Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) mengenai kemenangan Marsha Milan di anugerah berprestij itu semalam.

Pada malam AJL40 yang berlangsung di Unifi Arena Bukit Jalil, Marsha menyampaikan lagu Tangisan Seorang Pendosa dengan penuh penghayatan.

Menurut Acis, nada tinggi bukanlah segala-galanya dalam nyanyian untuk seseorang penyanyi memenangi vokal terbaik.

Apa yang paling penting bagaimana penyanyi menyampaikan sesebuah lagu. Dan, Masha buktikan dia berjaya menyampaikan lagu itu dengan baik kepada semua yang menonton. Itu yang membuatkan kami (juri) memilih dia sebagai pemenang vokal terbaik.

“Anda tak perlu menjerit. Sampaikan cerita lagu anda kepada kami,” katanya pada sidang media sejurus tamat AJL40.

Tambahnya lagi, markah yang diperolehi Marsha juga jauh meninggalkan pesaing terdekatnya.

Saya tak boleh sebut nama dia. Tetapi markah Marsha agak tinggi. Jurang di tempat pertama dan kedua agak jauh,” jelasnya.

Sementara itu bagi Marsha sendiri, dia sudah lama mengidamkan untuk menggenggam trofi vokal terbaik.

“Alhamdulillah saya bersyukur sangat dengan kemenangan ini. Ini adalah anugerah pertama saya dalam kategori vokal terbaik. Saya tak pernah menang sebelum ini.

“Sejujurnya saya tak sangka saya boleh menang anugerah ini di mana semua tahu situasi kesihatan suara yang tidak berapa baik.

Tetapi saya gembira akhirnya ada yang melihat potensi dalam vokal saya. Syukur sangat dengan kemenangan ini,” ujarnya.

Menyifatkan Aina Abdul sebagai pesaing terdekatnya, kata Marsha dia berharap kemenangannya akan menjadi motivasi untuk dia terus belajar dan meningkatkan mutu vokal dalam nyanyiannya.

AJL40 menyaksikan kumpulan K.O.I dinobat sebagai juara menerusi lagu Tiwikarma. Naib juara pula disandang oleh Aisha Retno menerusi lagu Tak Adil manakala tempat ketiga pula menjadi milik Ryenald Guntabid menerusi lagu Lumangad Oku Dika.

Kategori persembahan terbaik menjadi milik Aina Abdul. Aina turut menerima Anugerah Ikon Artis Pilihan Shopee serta diumumkan sebagai penyanyi yang dipilih ke pertandingan Eurovision Asia. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok