Betapa mencabarnya ikhtiar saya untuk dapatkan zuriat – Siti Elizad 

PELAKON dan penyampai radio Siti Elizad menzahirkan rasa syukur dikurniakan mentua yang tidak  pernah memberi tekanan terhadapnya mengenai zuriat.

Perkara itu dikongsi Elizad dalam segmen Pagi Di Sinar, semalam.

“Paling saya kagum keluarga mentua dan bapa sendiri tidak pernah bertanya mengenai zuriat.

“Mereka tak pernah tanya bila saya nak memiliki zuriat sendiri sedangkan adik-beradik yang lain dikurniakan anak yang ramai tetapi saya seorang belum ada,” kongsinya.

Sebelum itu, pemilik nama sebenar Siti Elizad Mohd Sharifuddin, 39, tidak dapat menahan sebak mengenangkan pelbagai usaha telah dilakukan demi mendapatkan zuriat.

Dalam linangan air mata, Elizad yang sudah lebih sembilan tahun mendirikan rumah tangga berkata, bukan semua orang mengetahui dan memahami segala kepayahan yang dilalui sepanjang berikhtiar mendapatkan anak selama ini.

“Orang tidak tahu betapa sukar dan mencabar (dapatkan zuriat). Kita pergi berubat untuk ikhtiar.

“Jika diikutkan, tahun depan usia perkahwinan sudah hendak memasuki usia 10 tahun tetapi orang tidak tahu saya sudah pergi berubat, mungkin belum ada rezeki,” katanya sebak.

Terdahulu, Elizad pernah menjalani rawatan kesuburan in-vitro (IVF) IVF pertama pada Februari 2020 sebelum disahkan mengalami keguguran pada November tahun yang sama.

Pada Mac 2022, dia memaklumkan kembali menjalani rawatan IVF kali kedua dalam usaha mendapatkan cahaya mata.

Elizad dan Shamsul Baharin Rahman mendirikan rumah tangga pada 11 Januari 2015. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok