SELEPAS bergelar haji, pelakon sensasi Zul Ariffin enggan lagi menjayakan karakter ‘seksi’ atau membintangi naskhah yang menonjolkan aksi intim keterlaluan.
Begitupun, bintang filem Sangkar itu tetap meneruskan kerjaya lakonan seperti biasa, cuma lebih selektif dalam memilih tawaran selagi tiada adegan melampau.
Perkara itu didedahkan penerbit, Fadzil Teh dalam Facebook (FB), baru-baru ini yang mempelawanya terbabit dalam pembikinan sebuah drama bersiri baharu.
Katanya, tawaran tersebut ditolak Zul atas alasan dan prinsip yang turut membuatkan Fadzil terasa malu dengan diri sendiri apabila masih menghasilkan drama sedemikian.
“Beberapa hari lepas ada berbual dengan Zul. Dia beritahu masih berlakon tetapi dia minta maaf tak mahu ambil watak seksi atau babak peluk-peluk.
“Saya kata okey ambil watak ini, tak ada rogol, gomol perempuan tetapi dia kata ‘minta maaf haji, saya tak nak terlibat dengan cerita macam ini’.
“Lepas itu saya terfikir dan malu sendiri. Saya pun terus telefon orang kuat televisyen itu dan minta buang plot cerita yang agak seksi. Mereka bersetuju,” katanya dalam perkongsian itu.
Fadzil yang berpengalaman luas dalam dunia produksi mengakui menghormati keputusan Zul, selain cukup terkesan dengan prinsip ditunjukkan pelakon berkenaan.
Malah pemilik rumah produksi Zeel Production itu nekad tidak akan menerbitkan lagi drama yang mempunyai unsur seksi atau seumpamanya pada masa akan datang.
“Saya pernah berjanji dengan diri sudah tidak mahu menerbitkan drama yang agak seksi jalan ceritanya.
“Tetapi kadang-kadang saya sendiri lalai dan lemah dengan dunia glamor ini. Terima kasih Haji Zul Ariffin,” katanya.
Terdahulu, Zul, 37, menzahirkan kesyukuran apabila berpeluang menunaikan ibadah haji selepas tiga kali mengerjakan umrah.
Pada 10 Jun lalu, Zul atau nama penuhnya Zulkifli Ariffin telah menunaikan haji, sekaligus melaksanakan rukun Islam yang kelima.
Sebelum ini dia pernah beberapa kali terpalit dengan kontroversi terutama membabitkan klip panas bersama seorang aktres muda sekitar Mac tahun lalu. – HIBGLAM