SELESAI mengerjakan ibadah haji, pelakon Datin Lisa Surihani menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas segala doa titipan orang ramai buat dirinya sepanjang berada di Tanah Suci Mekah.
Lisa, 40, turut mendoakan agar kebaikan dan kesejahteraan yang sama berbalik kepada semua pihak yang mendoakannya.
“Kepada semua yang sudi dan juga dengan ikhlasnya doa untuk saya, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak atas kesudian.
“Apa yang didoakan kepada saya, saya mendoakan dan ia berbalik kepada anda semua berganda-ganda,” katanya dalam sebuah video.
Isteri kepada penyanyi dan pelakon Datuk Yusry Abdul Halim itu turut mengambil kesempatan menitipkan doa buat seluruh jemaah agar ibadah mereka diterima Yang Maha Esa.
Bagi jemaah yang melaksanakan haji buat tahun ini, kesemuanya dari seantero dunia, saya doakan sangat moga kesemua dosa-dosa kami diampunkan.
“Moga Allah kurniakan kami haji yang mabrur dan juga menjadi orang yang lebih baik dari sebelumnya,” luahnya.
Dalam masa sama, pelakon filem Istanbul Aku Datang itu sempat mendoakan kepada semua agar diberi rezeki menunaikan ibadah haji yang dianggap satu detik paling istimewa dalam hidupnya.
“Bagi mereka yang berhasrat dan ingin menunaikan haji, saya doakan sangat-sangat Allah menjemput kalian.
“Setelah membesar dan dilahirkan kita melaksanakan rukun Islam yang pertama, kedua, ketiga dan keempat.
“Mengerjakan haji ini bila kita melaksanakan rukun Islam yang kelima memang sesuatu yang unik dan istimewa,” tuturnya.
Berkongsi lanjut, Lisa menyifatkan ibadah tersebut sebagai satu pengalaman yang sangat peribadi.
Unik di sini maksud saya adalah nikmat dan mujahadah (usaha memerangi nafsu) bagi setiap seseorang itu berbeza-beza bergantung kepada setiap manusia.
“Jadi kerana itu dia amat personal dari segi proses, ubudiah (pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah) dan hubungan bersama Allah SWT.
“Saya doakan sangat-sangat semua dapat (haji), insya-Allah dan moga kita dikurniakan syurga firdausi Allah, amin,” jelasnya.
Semalam, Lisa selamat pulang ke tanah air selepas sebulan berada di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan haji.
Sebelum ini, Lisa berangkat ke Mekah untuk menunaikan rukun Islam kelima itu bersendirian tanpa diiringi suami.
Difahamkan, rayuan permohonan visa haji Yusry ditolak sekali gus tidak berpeluang menunaikan ibadah tersebut bersamanya. –HIBGLAM
