Katanya, masih terlalu awal untuk menilai sama ada kehidupannya ketika ini berubah selepas pulang dari Tanah Suci, Mekah.
“Kalau cakap tentang perbezaan hidup selepas tunaikan haji, pastilah saya mengharapkan sesuatu yang lebih baik.
“Mungkin ini baru permulaan dan yang diharapkan adalah kita dapat imarahkan manasik (tata cara, panduan dan segala rukun) haji ke dalam kehidupan harian kita.
“Sebenarnya dalam kehidupan harian ini, kita sebenarnya boleh membawa pulang segala yang dipelajari sepanjang melakukan tawaf, sa’i, wukuf di Arafah dan melontar di Mina.
“Buat masa sekarang, mungkin terlalu awal untuk kata yang hidup sudah berubah kerana saya masih ke arah tersebut,” katanya lagi.
Pelakon Dendam Orang Mati itu juga bersyukur impiannya untuk menunaikan rujun Islam kelima itu pada usia 40 tahun akhirnya terlaksana.
Menurut Lisa atau nama penuhnya Lisa Surihani Mohamed, hasrat tersebut sudah diimpikannya sejak tahun 2022 termasuk untuk menunaikan haji bersama suami tercinta, Datuk Yusry Abdul Halim.
“Bersyukur, ini semuanya berlaku dengan izin Allah SWT. Ini merupakan doa yang saya minta sangat-sangat sejak tahun 2022.
“Ketika itu saya berdoa dan minta Allah izinkan saya menunaikan haji pada umur aku 40 tahun bersama dengan suami. Namun, Allah tahu yang lebih baik untuk saya apabila suami tak dapat nak pergi.
“Walaupun keadaan itu mungkin kita rasa macam keadaan yang kurang menyenangkan, tetapi kita perlu bersangka baik walau macam mana pun,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui selepas konsert separuh akhir Talk To My Manager 2 (TTMM2, semalam.
Mengulas lanjut, dia sentiasa berlapang dada sepanjang menunaikan ibadah haji tanpa suami di sisi selain percaya pasti ada hikmah lain yang Tuhan sudah aturkan buatnya dan Yusry.
“Allah Maha Mengetahui dan mungkin ada baiknya yang abang (Yusry) tak pergi, contohnya mungkin untuk menjaga anak-anak.
Namun, saya reda meski tidak dapat tunaikan haji dengan abang walaupun kita sudah ada perancangan tapi Dia yang Maha Menentukan.
“Jadi, saya beritahu pada abang, walau macam mana sekali pun, reda sebab Allah tahu yang terbaik,” katanya yang bersyukur tidak melalui insiden aneh sepanjang berada di Tanah Suci.
Terdahulu, Lisa pada 12 Jun lalu selamat pulang ke tanah air selepas sebulan berada di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan haji musim ini.
Sebelum ini, Lisa berangkat ke Mekah untuk menunaikan rukun Islam kelima itu bersendirian tanpa ditemani suami.
Difahamkan, rayuan permohonan visa haji Yusry ditolak sekali gus tidak berpeluang menunaikan ibadah tersebut bersamanya. – HIBGLAM
