Anak syurga bahagia Kaka

BERGELAR ibu banyak mengubah persepsi Kaka Araff terhadap kehidupan. Kalau dahulu kerjaya seni menjadi kecintaan pertamanya, kini prioriti beralih kepada suami dan tiga permata hati mereka.

Bersama Hibglam, pemilik nama sebenar Nor Atiqa Norr Azraff berkongsi keterujaannya kembali bekerja selepas melahirkan anak ketiga pada Jun lalu dan pada masa sama bahagia memenuhi amanah sebagai ibu.

“Alhamdulillah, saya sudah kembali bekerja.

“Perlahan-lahan mencari rentak dan waktu untuk kembali bekerja memandangkan ketika ini anak sudah tiga yang menjadi keutamaan saya. Jadi, jadual sebagai seorang ibu sangat padat,” kata Kaka.

Akuinya, menjaga tiga orang cahaya mata yang masih kecil memerlukan perhatian penuh dan bersyukur suami banyak membantu.

“Semuanya okey dan masih juga ‘merangkak’ mencari rentak untuk dapatkan keseimbangan masa dan perhatian membesarkan tiga anak serentak.

“Suami banyak membantu dan saya ada juga ambil pembantu untuk melancarkan kerja-kerja harian lain,” jelas penyanyi yang popular menerusi lagu Gila itu.

Wanita berusia 34 tahun itu juga bersyukur dikurniakan lelaki bernama Adam Azriff yang setia menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa yang ringan tulang menguruskan tiga anak mereka setiap hari.

Jelasnya, perkara itu sangat membantu dirinya yang masih mencari-cari titik keseimbangan hidup antara keluarga dan kerjaya.

“Kalau inginkan kehidupan seimbang ketika ini memang sukar tetapi suami banyak membantu. Dia juga tak mahu saya berhenti menyanyi sebab tahu semua itu adalah minat saya.

“Bagi saya ketika ini ialah keseimbangan kesihatan mental. Jangan terlalu beri tekanan pada diri, terutama mental.

“Kalau nak pastikan keluarga bahagia, perlu berikan kegembiraan kepada diri sendiri dahulu,” tuturnya.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari https://kosmo.com.my.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok