SELEPAS 20 tahun ‘mekar’ dengan karya Kaulah Segalanya, penyanyi kelahiran Singapura Hazrul Nizam kini hadir dengan sebuah single duet bersama rakan seperjuangan, Diana Nazyra berjudul Sejuta Kata.
Bersahabat sejak sekian lama, lagu tersebut disifatkan sebagai karya istimewa, baik Hazrul dan Diana memandangkan sudah 15 mereka menanti untuk berpadu suara.
Lebih istimewa, Sejuta Kata yang mempertaruhkan genre berentak balada itu telah dihasilkan dengan nukilan indah komposer terkenal Malaysia, Omar K dan juga penyanyi, Hazama.
Komposer Malaysia
Pencipta lagu, Omar K yang ditemui semasa sidang media pelancaran Sejuta Kata baru-baru ini, berkata, karya penuh emosi itu terkandung maksud cukup mendalam.
“Sejuta Kata menceritakan tentang perasaan sayang terhadap seseorang yang tidak dapat digambarkan walaupun dengan sejuta kata.
“Istimewa untuk saya sebab dapat bekerja dengan artis luar negara. Jadi apabila peluang ini datang, memang saya sangat gembira,” katanya.
Menurut Hazrul, dia acap kali merancang untuk merakamkan lagu duet bersama Diana, namun beberapa kali tergendala dek kekangan waktu.
Bagaimanapun, hasrat yang sudah lama dipendam itu akhirnya terlaksana selepas Hazrul selesai menyertai program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada tahun lalu dan terus ‘melamar’ Diana untuk meneruskan projek duet mereka.
“Kami sudah lama berada dalam industri hiburan Singapura dan mengenali antara satu sama lain. Kami memang berkawan baik. Hampir 15 tahun perkenalan.
“Sebab masing-masing sibuk, keinginan kami sentiasa tertangguh,” ujar Hazrul.
Single solo
Ketika disoal kenapa tidak mengeluarkan single solo, Hazrul mahu merealisasikan impian satu per satu.
“Ada yang bertanya kenapa saya tak keluarkan single solo selepas tamat GV9. Sebenarnya saya ada perancangan itu dan sedang dalam proses untuk menghasilkan karya solo.
“Tapi, projek duet ini perjalanannya sangat mudah. Selepas perbincangan, segalanya berjalan lancar dan akhirnya selamat menemui peminat,” kata penyanyi berusia 42 tahun itu.
Bagi Diana pula, dia berbangga dapat berduet dengan rakan baiknya itu dan melantunkan lagu ciptaan komposer hebat dari Malaysia.
“Saya bangga kerana dapat menyanyi bersama Hazrul dalam karya indah yang dicipta oleh komposer prolifik, Omar K dan Hazama.
“Saya berharap lagu ini mendapat respons positif pendengar muzik Nusantara,” jelas Diana.
Sejuta Kata mula menemui peminat pada 23 Mei yang lalu menerusi semua pelantar penstriman digital dan video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Alternate Records & Talents selain mendapat sokongan penuh daripada HMA Entertainment. – HIBGLAM