‘Merewang’ debut Adlin di kerusi pengarah

JUAL budaya Melayu tetapi bukan dengn cara klise. Itu yang diterapkan dalam filem terbaharu terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold, Merewang Keluarga Pak Awang (MKPA).

Filem genre komedi arahan pelakon terkenal, Adlin Aman Ramlie itu bukan sahaja mempertaruhkan barisan pelakon hebat tetapi jalan cerita yang dekat dengan jiwa masyarakat Malaysia.

Menurut Adlin, pembikinan MKPA tersebut bukan sesuatu yang mudah dan dia hanya ingin memastikan kualiti karya berkenaan setanding naskhah layar perak sedia ada.

“Sudah lama saya menyepi dalam kerjaya seni dan kini kembali sebagai pengarah MKPA.

“Rasa teruja untuk menghidangkan buah tangan terbaharu ini yang padat dengan mesej positif seperti nilai kekeluargaan dan kepelbagaian watak.

Harapan

“Harapan saya untuk filem ini sangat tinggi. Mungkin tidak sehebat filem lain tetapi cukup untuk menghiburkan penonton setiap lapisan umur,” katanya pada tayangan perdana MKPA baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai unsur budaya yang diterapkan, Adlin bertegas mahu lari daripada jalan cerita klise yang sering dipaparkan dalam filem Melayu terdahulu, contohnya wayang kulit atau makyung.

Memang saya nak angkat budaya orang Melayu yang jarang diketengahkan dalam filem kita seperti aktiviti rewang pada majlis perkahwinan dan muzik ghazal yang sangat sinonim dengan negeri Johor.

“Saya juga cuba sebaik mungkin untuk menterjemahkan skrip yang diberikan dan memang agak sukar memastikan jalan cerita ini menjadi satu dandanan yang bagus,” jelasnya yang menjalani penggambaran di Muar, Johor.

Sementara itu, aktor tersohor, Sabri Yunus yang menerajui watak Pak Awang memberitahu cabaran utamanya untuk filem ini adalah bagaimana untuk berdepan dengan Adlin.

“Pak Awang watak yang menarik dan saya sangat sukakannya,” katanya.

Sabri juga mengakui pada awalnya berasa risau kerana rasa ketidakpastian mengenai hala tuju filem berkenaan, namun semuanya meleset selepas melihat hasilnya di layar perak.

Antara babak menarik dalam Merewang Keluarga Pak Awang.

“Ketika terima tawaran filem ini, perkara pertama saya fikir ialah bagaimana mahu berdepan dengan Adlin dan tipulah saya tiada kerisauan mengenai hasilnya sebab saya juga seorang pengarah,” jelasnya lagi.

Pengalaman mengujakan

Berkongsi pengalaman, Sabri gembira berpeluang bekerja dengan pelakon yang juga banyak memberi input menyeronokkan lagi jalan cerita.

“Selain itu, saya juga tidak melakukan sebarang improvisasi dialog dan hanya mengikut 100 peratus skrip disediakan.

Harap penonton suka dengan hasil kerja saya dan sifat kebapaan itu sampai ke jiwa orang ramai,” tuturnya.

Selain Sabri, MKPA yang bakal ditayangkan bermula 15 Julai depan di Astro First turut membariskan pelakon hebat lain seperti Zizan Razak, Adriana Adnan dan Emelda Rosmila.

Filem berkenaan mengisahkan pesara tentera, Pak Awang ingin mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya, Usu (Adriana) secara besar-besaran.

Namun, kemunculan Dol (Zizan) mencetuskan huru-hara.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok