SERING menjadi mangsa kritikan disebabkan fesyen muslimah disifatkan melampau, penyanyi muda Masya Masyitah berlapang dada dengan segala teguran.
Kata Masya atau nama sebenarnya, Siti Nurmasyitah Mohd. Yusoff, dia tidak mahu pusing dengan kritikan tidak berfaedah sedangkan dirinya sendiri yang mengetahui apa yang terbuku di hati.
“Saya bukan muslimah yang sempurna. Banyak lagi kekurangan dalam diri ini. Orang nak kutuk atau kritik, itu terpulang kepada mereka. Lebih baik, kalau mereka cermin diri mereka dahulu sebelum bercakap buruk tentang seseorang.
“Saya sebenarnya, malas nak ambil tahu tentang pandangan khalayak tapi saya tahu, di luar saya ada yang berniat baik dan ada juga yang suka tengok kita jatuh,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Ujar pelantun lagu Halimunan itu lagi, meskipun sering menerima kecaman netizen, itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk terus istiqamah bertudung.
“Mereka boleh cakap apa yang mereka suka namun yang tahu siapa diri ini hanya saya dan Allah SWT. Saya masih belajar untuk mengikut suruhan dan ajaran Islam sebaik mungkin.
“Kadang-kadang, saya tersasar tapi saya percaya, itu lumrah manusia.
“Orang cakap saya pakai tudung tapi tak ikhlas, itu masalah mereka. Saya masih mengenal agama dan saya yakin ramai wanita di luar sana sama seperti saya,” getusnya.
Terdahulu, Masya teruk menjadi kecaman netizen apabila mengayakan baju sekolah dengan stoking ala-ala pelajar Jepun yang menampakkan kulit pahanya.
Baru-baru ini, Masya, 23, terus menjadi sorotan khalayak kerana berkongsi sekeping foto dirinya bermain badminton dengan menggayakan hoodie sehingga bahagian leher. – HIBGLAM