PERSEMBAHAN di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) teruk dikecam netizen dan rakan industri, penyanyi Aina Abdul menyifatkan budaya saling menjatuhkan sesama penggiat seni sebagai sesuatu yang amat mengecewakan.
Ujar Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 33, dia menyedari wujud kritikan daripada netizen malah rakan industri terhadap persembahannya, namun enggan membiarkan perkara itu mengganggu fokusnya untuk terus berkarya.
“Saya memang nampak perkara itu dan sempat membaca beberapa komen. Bagi saya, kenapa kita perlu hidup dalam masyarakat penuh kebencian? Sepatutnya kita meraikan sesama artis.
Kita sama-sama melalui kesusahan. Kita tahu perjalanan sebagai anak seni bukan setiap hari indah dan penuh warna-warni. Kita tahu sendiri betapa sukarnya berada dalam industri ini.
“Kalau kecaman datang daripada netizen, mungkin mereka tidak mengetahui kehidupan sebenar kita. Tetapi apabila perkara itu datang daripada rakan industri, kadang-kadang saya tertanya-tanya, kenapa perlu begitu negatif?” katanya kepada HibGlam.
Bagaimanapun, pelantun lagu Sadis itu menegaskan luahannya tidak ditujukan kepada mana-mana individu, sebaliknya berharap semua pihak dapat menjalani kehidupan serta kerjaya masing-masing tanpa menyemarakkan permusuhan.
“Saya tidak tujukan perkara ini kepada sesiapa. Saya cuma berharap mereka gembira dengan apa sahaja perkara yang sedang dilakukan.
Saya akan teruskan kerja dan kekal berfikiran positif kerana saya tahu apa yang saya buat mungkin bukan untuk mereka, tetapi untuk peminat saya yang menghargai seni.
“Bak kata abang Noh Salleh, ‘Seni kami, untuk kami’. Jadi, saya akan terus berjalan dengan prinsip itu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu mengakui perkara tersebut bukan sesuatu mudah untuk ditelan, namun memilih menjadikan pengalaman berkenaan sebagai pengajaran dalam mengemudi perjalanan hidup.
“Itulah kehidupan. Kita tidak akan pernah tahu siapa sebenarnya kawan kita. Saya harap semua orang yang membaca kisah ini dapat mengambil sedikit pengajaran.
Tidak kira siapa pun kita jumpa dalam hidup, kita tidak tahu sama ada dia kawan atau lawan. Tetapi perkara paling penting bukan untuk mengetahui siapa kawan atau lawan.
“Kalaupun akhirnya kita sedar seseorang itu bukan kawan seperti disangka, jangan sambung perkara negatif itu. Simpan sahaja, ketepikan dan teruskan perjalanan,” jelasnya.
Aina turut menyeru orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memilih kata-kata, terutama ketika dunia digital memberi ruang luas kepada sesiapa sahaja untuk menyuarakan pandangan.
Berbuat baiklah. Kita sudah berada pada tahun 2026.
“Sepatutnya kita lebih matang, tahu perkara betul untuk dilakukan dan tahu memilih kata-kata yang baik,” ungkapnya.
Sebelum ini, persembahan Aina di pentas AJL40 mengundang pelbagai reaksi dalam media sosial apabila bukan sahaja netizen, malah beberapa rakan industri turut mengkritik gaya persembahannya.
Lebih teruk, terdapat segelintir pihak menyifatkan persembahan Aina terlalu berlebihan selain berpendapat pendekatan ‘less is more’ lebih sesuai dalam sesebuah persembahan pentas. – HIBGLAM
