Penyanyi rap yang juga bekas anggota kumpulan Too Phat, Malique bikin ramai meremang apabila ‘berduet’ dengan Allahyarham Mona Fendy.
Karya yang diberi judul Sedih Hati itu menggunakan awal kalam dendangan asal Mona atau nama sebenarnya, Maznah Ismail yang dipetik daripada lagu Ratapan Anak.
Perkara tersebut didedahkan seorang pengguna Twitter, @arfdy12 yang memaklumkan Malique baharu sahaja melancarkan single itu.
“Baru tahu Malique ada keluar single baharu – Sedih Hati.
Lain macam dengar vibe lagu ini. Bila baca komen ada yang cakap intro lagu Ratapan Anak – Mona Fendy. Fuh! bukan biasa-biasa,” ciapnya.
Menurut individu itu lagi, Mona Fendy seorang penyanyi sebelum aktif dalam dunia perubatan tradisional.
“Ramai tidak tahu Mona Fendy pernah jadi penyanyi sebelum bergelar pengamal perubatan tradisional.
“Pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu, Monay Fendy menjadi bualan mengenai kes pembunuhan yang membawa hukuman gantung sampai mati,” coretnya lagi.
Lagu Sedih Hati boleh didengari menerusi YouTube.
Untuk rekod, Mona dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Penjara Kajang, Selangor pada 2 November 2001 ketika berusia 45 tahun selepas didapati bersalah membunuh bekas ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Pahang, Datuk Mazlan Idris pada 1993.
Allahyarham Datuk Mazlan Idris telah dipancung, badannya dikerat 18 bahagian, sebahagian kulit disiat dan ditanam di sekitar rumah Mona. – KOSMO! ONLINE