5 selebriti lapor polis selepas terima ancaman

INSIDEN selebriti berdepan obsesi peminat sehingga terjadi perkara menakutkan termasuk serangan seksual serta ugutan bukan perkara baharu.

Barangkali situasi tersebut di negara ini tidak seteruk negara barat apabila di sana pelaku lebih agresif selain sanggup berbuat apa saja demi mendekati personaliti pujaan mereka.

Tidak hairan segelintir artis terpaksa mengambil langkah perlu dengan lebih berhati-hati atau membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Hakikatnya perbuatan mengganggu, mengintip, mengekori serta ugutan tidak boleh dipandang ringan apatah lagi
apabila membabitkan nyawa.

Gala minggu ini menyenaraikan lima selebriti yang pernah membuat laporan polis gara-gara menerima ugutan dan ancaman daripada individu tidak dikenali termasuk peminat.

REEN RAHIM

AKTRES Reen Rahim membuat laporan polis selepas seorang peminat mengugut untuk menyebarkan gambar dan video peribadinya.

REEN RAHIM

Peminat wanita yang didakwa pernah rapat dengan bintang drama Wanita Yang Dikasihi itu didakwa mencuri gambar dan video disimpan dalam telefon bimbit Reen.

Tambah pemilik nama penuh Noreen Ashikin Abdul Rahim itu, individu sama juga yang pernah ingin menubuhkan
kelab peminatnya.

Dia mendakwa didekati pelaku terbabit sebaik memenangi program realiti Pilih Kasih 3 sekitar tahun 2012 hingga menjalin persahabatan selepas berjumpa semula dua tahun kemudian.

HARRIS ANNUAR
BERBEZA dengan kes biasa, hos dan pelakon, Harris Annuar nekad membuat laporan polis bagi melindungi keselamatan diri selepas menerima ugutan santau.

HARRIS ANNUAR

Perkara berkenaan dikongsikan figura berusia 30 tahun itu dalam Instagramnya sambil memegang laporan polis yang
dibuat di Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Selangor.

Sehari sebelum itu, pelakon drama Lelaki Kiriman Tuhan itu memuat naik paparan skrin mesej yang diterima daripada seorang pengguna Instagram mengugut mahu ‘menghantar’ santau.

Terkejut dengan kiriman tersebut, Harris bagaimanapun kekal bertenang dan memohon maaf andai pernah menyakiti perasaan sesiapa selain memohon dirinya dilindungi daripada perkara buruk.

Malah, dalam kiriman sebuah video dimuat naik, dia mengakui bingung kerana tidak tahu kesalahan yang telah dilakukannya sehingga menerima ugutan menakutkan tersebut.

CAPRICE

GARA-GARA memberi ulasan terhadap isu membabitkan pendakwah bebas, Ebit Liew sekitar 2021, Caprice diugut seorang individu tidak dikenali dalam laman sosial.

CAPRICE

Sebaik menerima mesej peribadi (DM) berbaur ugutan, aktivis kemanusiaan dan penyanyi rap itu tidak
berfikir panjang untuk membuat laporan polis.

Selepas mendedahkan laman Instagram individu terbabit yang dipercayai seorang cef di pusat penerbangan terkemuka negara, pihak terbabit dikatakan menukar profil peribadi serta nama akaun.

Sehubungan itu, Caprice mengingatkan orang ramai supaya jangan menyusahkan diri sendiri semata-mata sikap
taksub melampau.

JANNA NICK
JANNA atau nama sebenarnya Nurul Jannah Munner berdepan ugutan bunuh selepas menamakan watak antagonis dalam drama terbitannya sebagai Lisa Blackpig yang seolah-olah merujuk kepada Lisa Manohan atau Lisa Blackpink.

JANNA NICK

Bukan satu, sebaliknya banyak ancaman menerusi laman maya ditujukan kepadanya akibat keterlanjuran katanya itu.

Janna kemudian menegaskan nekad meneruskan tindakan undang-undang kerana merasakan keselamatan keluarga
turut terancam.

Kejadian yang berlaku 2021 itu memberi kesan terhadap kerjaya seninya, sekali gus membuatkannya
meneruskan tuntutan pampasan terhadap pihak yang memulakan provokasi.

REMY ISHAK
REMY Ishak juga antara anak seni yang pernah berdepan ugutan bunuh hingga menjadi sasaran fitnah individu tertentu.

REMY ISHAK

Perkara tersebut turut didedahkan menerusi Twitter yang menunjukkan kediamannya diserbu pihak berkuasa pada pukul 1 pagi setelah menerima aduan terdapat kegiatan dadah.

Biarpun kejadian telah berlaku beberapa tahun lalu, pelakon drama Hijrah Jannah itu tetap berwaspada.

Malah, insiden tersebut kekal dalam ingatan kerana mencetuskan kekecohan, cuma mujur ketika serbuan, Remy atau
nama sebenar nya, Mohammad Zalimei Ishak, berada di luar kawasan.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok