SIAPA sangka sebuah kerusi urut boleh menjadi antara hantaran perkahwinan paling mencuri perhatian rakyat Malaysia? Itulah yang berlaku ketika majlis pernikahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan pelakon dan penyanyi, Bella Astillah pada 10 Oktober lalu.
Bukan sekadar gimik, kerusi urut bersaiz sebenar yang ditolak masuk ke ruang majlis oleh pembawa hantaran itu membuatkan ramai terhibur, sekali gus menjadi bualan hangat dalam media sosial.
Tidak cukup dengan kerusi urut, Syed Saddiq turut menghadiahkan emas berbentuk Gunung Kinabalu, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM100,000, kemudahan gimnasium di rumah, basikal lumba, pakej umrah serta peluang menyambung pengajian peringkat sarjana buat isterinya.
Lebih bermakna, beliau turut menyediakan perlindungan insurans untuk Bella dan dua anaknya.
Semua pemberian tersebut bertepatan dengan konsep Growing Old Together atau menua bersama yang diketengahkan pasangan berkenaan.
Selain pasangan itu, ramai selebriti pernah tampil atau menerima idea di luar kotak ketika hari bahagia mereka.
Erra Fazira – Pokok ufti 24 dinar emas

Bukan sejambak bunga biasa, sebaliknya sepohon pokok ufti yang dihiasi 24 keping dinar emas menjadi mas kahwin istimewa buat primadona filem Melayu, Erra Fazira ketika mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Ezwan Zain pada 12 Disember tahun lalu.
Mas kahwin seberat 102 gram emas itu digubah menyerupai pokok ufti bunga emas yang diinspirasikan daripada tradisi persembahan masyarakat Melayu pada zaman dahulu.
Keunikan gubahan tersebut bukan sahaja terletak pada nilainya, tetapi juga cara Ezwan mengangkat kembali elemen warisan sebagai simbol penghargaan buat wanita yang dicintainya.
Pasangan itu turut mendapat perhatian apabila pelbagai barangan disatukan dalam sebuah talam besar yang dibawa menggunakan tandu.
Intan Najuwa – RM222,000 lambang dua tahun percintaan

Bukan sedikit jumlahnya apabila pelakon popular, Intan Najuwa menerima wang hantaran sebanyak RM222,000 daripada suaminya, ahli perniagaan Datuk Ahmad Asraf Azman ketika mereka disatukan sebagai suami isteri pada 18 Ogos 2023 di sebuah resort di Pantai Desaru, Johor.
Selain wang hantaran enam angka itu, Intan turut menerima mas kahwin RM20,000. Namun, apa yang menjadikan pemberian tersebut lebih istimewa bukan sekadar jumlahnya yang besar, sebaliknya pemilihan angka dua yang mempunyai maksud tersendiri buat pasangan berkenaan.
Angka dua yang diulang dalam jumlah RM222,000 itu dipilih sebagai simbolik tempoh dua tahun perkenalan mereka sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.
Irish Bella – Masjid sebagai mas kahwin

Kalau pasangan lain menerima wang tunai, emas atau barangan kemas, pelakon popular Indonesia, Irish Bella pula menerima sebuah masjid sebagai mas kahwin daripada suaminya, ahli perniagaan Haldy Sabri.
Pemberian luar biasa itu diumumkan ketika pasangan tersebut melangsungkan pernikahan pada 19 Oktober 2024.
Masjid berkenaan bukan sekadar janji atau replika yang dipamerkan ketika majlis akad nikah. Haldy benar-benar membina masjid yang diberi nama Masjid Mahar Al-Mahabbah di kawasan sebuah pesantren di Bogor, Jawa Barat.
Pembinaannya siap dan masjid tersebut dirasmikan pada 19 Mei 2025, kira-kira tujuh bulan selepas pasangan itu bergelar suami isteri.
Lebih menyentuh hati, Irish kemudian mewakafkan masjid tersebut untuk kegunaan masyarakat.
Nanda Arsyinta – Saham syarikat sebagai mas kahwin

Berbeza dengan pemberian konvensional, pempengaruh dan personaliti kecantikan Indonesia, Nanda Arsyinta menerima aset pelaburan sebagai mas kahwin ketika menikahi Ardya Tridwantoro pada 30 Mei 2021.
Lebih menarik, pemberian tersebut bukan sekadar wang simpanan, tetapi pegangan saham dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Efek Indonesia.
Ketika majlis akad nikah, Nanda menerima 305 lot saham PT Merdeka Copper Gold Tbk (MDKA), bersamaan 30,500 unit saham, serta emas seberat 21 gram.
Eina Azman – Kereta sport Chevrolet Camaro

Ketika kebanyakan pengantin perempuan menerima beg tangan, kasut atau barangan kemas sebagai hantaran, pelakon Datin Paduka Eina Azman pula menerima sebuah kereta sport Chevrolet Camaro berwarna kuning pada majlis pernikahannya dengan ahli perniagaan, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Harden pada 31 Ogos 2014.
Pemberian kereta sport Amerika Syarikat itu menjadi antara hantaran paling mencuri perhatian pada waktu berkenaan.
Apatah lagi, Eina yang ketika itu baru berusia 19 tahun turut menerima wang hantaran RM77,000 beserta mas kahwin RM770 daripada suaminya. – HIBGLAM

