Tak profesional, produksi jangan abai adab – Catriona Rose

PELAKON Catriona Ross menegur sikap segelintir pihak produksi yang didakwa gagal menjaga adab dan profesionalisme ketika berurusan dengan pelakon khususnya berkaitan pembatalan tawaran kerja.

Catriona atau nama sebenarnya, Catriona Norhayati Ross Bahrin, 48, berkata, wakil syarikat sepatutnya mempunyai rasa tanggungjawab untuk memaklumkan kepada pelakon andai sesuatu projek tidak dapat diteruskan.

“Menawarkan sesuatu pekerjaan itu satu perkara dan saya berterima kasih kerana ingat saya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Namun, jika akhirnya tidak jadi, sekurang-kurangnya ada rasa hormat untuk memaklumkannya kepada saya.

“Itu perkara asas. Jika dimaklumkan lebih awal, tiada siapa yang akan marah,” katanya dalam hantaran di media sosial.

Jelasnya, perkara tersebut sepatutnya tidak perlu diperjelaskan secara panjang lebar kerana membabitkan soal adab dan pertimbangan terhadap masa orang lain.

Pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu berkata, makluman lebih awal bukan sahaja mencerminkan adab dalam dunia pekerjaan, malah membolehkan pelakon merancang jadual kerja dan rutin harian dengan lebih teratur.

“Kenapa? Sebab saya boleh merancang jadual seterusnya dan menguruskan kehidupan saya.

“Gunalah akal fikiran, semua. Takkan perkara asas macam ini pun saya perlu bercakap panjang lebar untuk menjelaskannya?” tegasnya.

Perkongsiannya meraih maklum balas netizen serta teman seperjuangan dalam arena seni yang bersetuju teguran diluahkan agar menjadi peringatan kepada penerbit serta syarikat produksi lain.

“Menghormati masa individu lain adalah adab profesionalisme yang asas. Perancangan boleh berubah, tetapi membiarkan orang menunggu merupakan tindakan tidak adil,” tulis seorang pengguna Threads. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok