BUKAN calang-calang anak seni bukan Melayu yang mampu memecah tembok pasaran dominan, namun Elizabeth Tan membuktikan sebaliknya.
Menginjak usia lebih sedekad dalam gelanggang hiburan tanah air, pelakon dan penyanyi yang mesra disapa Lizzy ini mengakui, rentak kejayaannya hari ini masih terasa bagai sebuah mimpi.
Di sebalik persaingan sengit, langkah berani wanita berbangsa Cina ini menembusi dan memenangi hati kelompok peminat Melayu bukan sekadar satu pencapaian, tetapi sebuah anomali yang jarang-jarang berlaku dalam industri tempatan.
Sedar realiti pasaran tempatan yang dimonopoli artis bumiputera, Lizzy menyifatkan kelangsungan kerjayanya yang masih utuh sebagai satu rahmat yang sangat menyentuh hati.
“Sangat terharu. Sehingga ke hari ini saya rasa disayangi, terutama apabila pasaran Melayu menerima seorang artis berbangsa Cina. Kita tahu ramai yang sudah mencuba tetapi tidak berjaya.
“Adakalanya saya tertanya-tanya, kebaikan apa yang saya lakukan sehingga mampu dan masih kekal berada dalam industri? Besar sangatkah nama Elizabeth Tan?” katanya merendah diri ketika ditemu bual HibGlam.
Menurutnya, Skop Productions menjadi institusi paling banyak membuka ruang kepadanya untuk membuktikan kemampuan sebagai pelakon.
Saya bahkan terhutang budi kepada Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof dan Syamin Yusof. Bila tengok semula lakonan lama, rasa sangat memalukan,” katanya.
Rancak berkarier dalam bidang lakonan, Lizzy mahu terus mencabar diri meneroka lebih banyak karakter dan genre, terutama filem kepolisan dan bercorak aksi.
Tinggal lagi, dia cuba mengelak daripada melakonkan watak air mata.
“Saya tidak dapat mengelak watak polis, banyak tawaran hadir dan saya sangat menyukainya sehingga tidak mampu menolak.
“Saya cuma elak watak sedih, kalau banyak menangis, rasa macam nak letak bayaran tinggi sebab susah nak keluarkan air mata!” katanya berseloroh.

MASIH diterima sebagai antara sandaran utama dalam karya layar perak, Lizzy sebenarnya masih tertanya-tanya apakah sebenarnya kelebihan yang ada pada namanya. – SHIDDIQIEN ZON
Alasan Lizzy: “Saya tidak pernah mengalami kehilangan besar seperti kematian orang terdekat atau haiwan peliharaan. Sebab itu apabila saya mahu menangis, agak susah. Otak saya terlalu logikal dan ceria.”
Dalam masa sama, Lizzy menyimpan impian untuk dikenali sebagai pelakon aksi, malah memasang cita-cita untuk mengikuti jejak bintang antarabangsa, Tan Sri Michelle Yeoh.
“Saya mahu menjadi pelakon aksi seperti Michelle dan kalau boleh ingin melebarkan sayap ke negara lain tetapi halangan terbesar adalah tidak fasih berbahasa Mandarin,” jelasnya.
Anak, babak cium
Selain aksi, satu lagi perkara yang terbuka untuk dilakukannya adalah babak intim seperti adegan bercium.
Biarpun menyedari perkara itu masih mempunyai batasan tertentu dalam produksi tempatan, Lizzy secara terbuka mengakui dirinya tidak mempunyai masalah untuk melakonkan babak berkenaan sekiranya diberi peluang.
Saya tidak sabar dan tiada masalah untuk buat babak bercumbu dan memang menanti tawaran sebegitu.
“Saya tunggu sahaja tetapi tidak pernah dapat dan tahu di Malaysia memang tak dibenarkan,” tuturnya.
Lebih membuatkan Lizzy bersyukur, apabila suaminya, Dr. Siew Jim Ding juga memahami tuntutan kerjaya lakonan dan tidak melihat babak sebegitu menggugat rumah tangga mereka.
“Suami saya okey sahaja. Kalau babak bercium dia benarkan tetapi netizen yang suka anggap macam-macam.
“Dia mempercayai saya dan paling penting kami saling percaya, sebab itu tiada sebarang masalah untuk babak begitu,” kata bintang Sheriff: Narko Integriti bersahaja.
Bercerita tentang keluarga, Lizzy bersyukur perjuangannya untuk memiliki cahaya mata sendiri menggunakan proses kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) yang dilakukannya sejak beberapa bulan lalu berjalan lancar.
Lebih memudahkan urusan, dia tidak lagi berjauhan dengan suami yang sebelum ini bertugas di Tapah, Perak.
“Dua minggu buat 14 suntikan setiap hari. Kebanyakannya saya buat sendiri tetapi syukur suami saya doktor, dia banyak tolong.
Sepanjang tempoh tersebut, saya tak keluar rumah sebab perut rasa kembung, berat badan naik dan muka berjerawat,” kongsinya yang sudah berhabis hampir RM30,000 untuk memiliki zuriat.
Nyanyian
Berkongsi mengenai kerjaya nyanyian pula, dia memberitahu bakal melancarkan sebuah EP yang memuatkan tujuh lagu hasil tulisannya sendiri.
“Tahun ini, saya mahu meraikan muzik dengan meluncurkan lagu-lagu ciptaan sendiri. Genre lebih kepada R&B dan santai, bukan lagi kedengaran seperti Knock Knock dan lagu-lagu sebelum ini.
“Genre dalam EP ini tidak terlalu mengikut pasaran tetapi lebih dekat dengan diri sendiri. Harap diterima,” ujarnya.

DALAM usaha mendapatkan zuriat pelengkap kehidupan dengan melakukan rawatan kesuburan IVF, Lizzy tidak duduk diam sebaliknya mahu menyempurnakan pembikinan sebuah EP mengandungi lagu ciptaan sendiri sepenuhnya.
Kata Lizzy, EP yang awalnya dijangka menemui peminat para November ini dijangka akan dilancarkan tahun depan.
“Saya yang cari penerbit dan pemuzik. Jadi tidak menjangkakan banyak daripada EP ini. Saya cuma mahu keluarkan karya sendiri. Bagi saya, lagu-lagu ini ibarat sebuah legasi supaya anak-anak saya nanti boleh dengar lagu yang saya tulis,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Lizzy bakal muncul dengan sebuah filem baharu berjudul Pemuja Syaitan. Menariknya, filem arahan Liyana Jasmay itu menuntut Lizzy melakonkan watak sebagai gadis berusia 17 tahun.
“Apabila mereka beritahu mahu saya jadi budak sekolah menengah, saya terus fikir, ‘kalian pasti mahu ambil saya?
“Tahun ini saya berusia 33 tahun, risau orang akan komen.
“Cuma saya cuba buat yang terbaik untuk menghidupkan watak diberikan demi Liyana,” katanya.
Gadis 17 tahun
Selain usia, dia juga terpaksa mengubah cara pertuturan dan intonasi supaya lebih sesuai dengan karakter remaja.
“Saya tidak boleh gunakan suara tegas gaya polis seperti selalu.
“Jadi, perlu lebih manja dan intonasi yang lebih nyaring,” tuturnya.
Berkongsi pengalaman di set penggambaran Pemuja Syaitan, Lizzy turut menyifatkan Liyana sebagai pengarah yang garang dan tegas.
“Dia sangat garang terutama kepada budak-budak baharu seperti akan marah di depan semua orang tapi saya faham, ketegasan itu bukan muncul tanpa sebab serta mahukan yang terbaik.
Liyana akan tegur sampai dapat hasil yang diingini,” ujarnya yang turut bergandingan dengan Zul Ariffin, Nadhir Nasar dan Aila Azizul dalam filem tersebut.

