Hantaran luar kotak Syed Saddiq, bukan sekadar simbol cinta!

“SAYA rasa penting kita bersiap sedia untuk masa depan.”

Demikian respons Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq mengenai pemilihan unik hantaran buat isteri tercinta, Bella Astillah.

Tambah Saddiq atau nama lengkapnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 33, perancangan masa hadapan sangat penting terutamanya untuk pasangan yang mendirikan rumah tangga sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Memuatkan artikel berkaitan…

” Apabila kita berbicara soal masa depan, bukan semuanya baik. Ada juga gelora, cabaran dan ujian.

“Saya rasa penting untuk kita membuat perancangan senario (scenario planning) supaya apabila kita dibadai ombak, melalui pelbagai jenis ujian dan dugaan, kita sudah bersedia.

“Tidak kira dari sudut kewangan, kesihatan atau yang lain. Ini tentang persediaan dan perancangan supaya jika diberikan nikmat untuk hidup dengan jangka hayat yang panjang, kita dapat menjalani kehidupan sihat, lebih sejahtera dan bahagia,” katanya dalam temu bual bersama Astro Gempak.

Tidak hanya mengutamakan diri dan isteri, bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut memikirkan kelengkapan jangka panjang buat anak-anak tirinya, iaitu Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

“Bukan hanya antara saya dan Bella, tetapi juga bersama anak-anak serta ibu bapa kita.

“Jadi, ini tentang berorientasikan masa depan dan memastikan diri kita bersedia menghadapinya,” katanya.

Sementara itu, Bella atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah, 32, mengakui tidak mengetahui perincian penuh mengenai hantaran yang disediakan suaminya.

“Berbincang tiada, tapi adalah tanya-tanya sikit.

“Cuma suamilah yang buat kejutan untuk saya,” katanya.

Terdahulu, pasangan yang diberikan julukan BASS itu selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur hari ini.

Majlis bertemakan Arab dan putih itu dihadiri kira-kira 300 tetamu termasuk ahli keluarga serta teman rapat pasangan itu.

Dalam majlis tersebut, Saddiq menyerahkan tujuh dulang hantaran kepada Bella dan dibalas sembilan dulang.

Antara hantaran pilihan Saddiq buat Bella adalah sebuah basikal, kerusi urut, emas berbentuk Gunung Kinabalu, pakej umrah, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM100,000 dan insurans.

Beberapa tetamu ternama turut hadir memeriahkan majlis termasuk Khairy Jamaluddin, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Nancy Shukri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Ismail Sabri.

Pasangan sama cantik sama padan itu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok