PEMPENGARUH dan usahawan Ashhry Atan menjamu hampir 1,000 pengunjung dengan sarapan percuma sebagai tanda syukur restoran miliknya, Ashhryshoshedap memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut Ashhry, pencapaian cawangan pertamanya di Nongchik Riverside, di sini, cukup bermakna dalam perjalanan perniagaannya, selain menjadi peluang menghargai sokongan pelanggan sejak awal pembukaan.
“Alhamdulillah, hari ini saya mengadakan program sarapan percuma untuk orang ramai sempena meraikan kejayaan Ashhryshoshedap memperoleh sijil halal daripada Jakim.
Saya mahu berkongsi berita gembira ini dengan pelanggan dan semua pihak yang sentiasa menyokong kami sejak awal pembukaan restoran sehingga sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.
Ujar Ashhry, kepercayaan pelanggan bukan sesuatu yang mudah diraih, sebaliknya menuntut komitmen berterusan dalam menjaga mutu makanan dan perkhidmatan.
“Bukan mudah untuk mendapatkan sokongan dan kepercayaan orang ramai. Dalam perniagaan makanan dan minuman, kita perlu sentiasa menjaga kualiti makanan serta perkhidmatan yang diberikan.
“Kalau tidak konsisten, memang sukar untuk bertahan. Jadi, program ini adalah salah satu cara saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terus menyokong Ashhryshoshedap,” ujarnya.
Mengulas kepentingan pensijilan halal, Ashhry menegaskan statusnya sebagai pengusaha Muslim tidak bermakna perkara tersebut boleh dipandang ringan.
Sebaliknya, pengiktirafan rasmi itu menjadi antara keutamaannya bagi meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap hidangan yang disajikan.
“Walaupun saya sendiri seorang Muslim, saya tetap mahu mendapatkan pensijilan halal supaya pelanggan lebih yakin untuk menikmati makanan di restoran kami.
“Halal bukan sekadar makanan yang dihidangkan, tetapi turut melibatkan bahan mentah, proses penyediaan dan aspek kebersihan.
“Kami mahu memastikan setiap hidangan bukan sahaja halal, malah bersih dan baik untuk pelanggan, selaras dengan konsep halalan toyyiban,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ashhry mengakui proses mendapatkan sijil berkenaan memerlukan penelitian rapi memandangkan restorannya menawarkan hampir 300 pilihan menu merangkumi hidangan utama, minuman dan pencuci mulut.
Katanya, setiap bahan perlu disemak satu persatu, selain pihaknya perlu menyediakan dokumen sokongan termasuk sijil halal daripada pembekal.
Proses mendapatkan sijil halal memang mengambil masa kerana kami mempunyai hampir 300 pilihan menu termasuk minuman, makanan utama dan pencuci mulut.
“Setiap bahan yang digunakan perlu disemak satu persatu. Kami juga perlu mengumpulkan dokumen dan sijil halal berkaitan daripada pembekal.
“Memang banyak perkara yang perlu diteliti, tetapi alhamdulillah, segala usaha dan komitmen itu akhirnya membuahkan hasil,” katanya.
Terus berkongsi rezeki, Ashhry turut mengumumkan bakal menawarkan potongan harga 50 peratus bagi semua makanan, minuman dan pencuci mulut di dua cawangan restorannya sempena ulang tahun kelahirannya pada 21 Oktober 2026. – HIBGLAM

