‘Jadi pengapit, saya ada bersama Bella sejak dulu’

KEMUNCULAN sebagai pengapit pengantin dipersoalkan segelintir netizen, pelakon Toh Puan Syamim Freida mendedahkan akrab dengan penyanyi, Bella Astillah sejak masing-masing masih solo sehingga ke hari ini.

Syamim atau nama penuhnya, Syamim Mohd. Farid, 35, berkata, persahabatan yang bertahun-tahun terjalin membuatkannya sentiasa memberikan sokongan kepada rakannya itu terutama ketika berdepan situasi sukar.

Menurutnya, dia memilih tidak terlalu mendedahkan persahabatan mereka di media sosial kerana mahu menjaga privasi selain menghargai perhubungan tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya dengan Bella sebenarnya sudah lama kenal, sejak sebelum dia berkahwin lagi. Boleh dikatakan kami berkawan sejak zaman hingusan.

“Mungkin orang pelik masa saya ada dalam senarai pengapit sebab kami jarang nampak bersama, tetapi sebenarnya saya selalu ada untuk dia kalau apa-apa berlaku.

“Jika ada berita mengenai dirinya, saya akan hubunginya terus, malah bersedia pada bila-bila masa kalau diperlukan,” katanya ketika ditemui selepas pembukaan premis pertama jenama persalinan aktif, NADA di KL East Mall, semalam.

Mengulas mengenai Bella yang kini memulakan lembaran baharu dalam kehidupan peribadi selepas bergelar isteri semula, Syamim mengakui tumpang gembira.

Malah, dia menyifatkan penyanyi juga pelakon itu sebagai wanita dan ibu berdedikasi, serta mempunyai kekuatan dalaman yang mungkin tidak disedari ramai.

“Dia sangat menakjubkan. Seorang individu yang sangat dedikasi. Kalau tengok dari luaran, dia nampak lembut dan kecil molek, tetapi sebenarnya dia sangat kuat.

“Saya boleh katakan Bella seorang individu ampuh luar dan dalam. Dia wanita besi,” ujarnya.

Syamim turut meluahkan rasa terharu apabila melihat rakannya itu menemui seseorang yang menghargai dirinya, selain berharap ikatan Bella dengan suaminya, Syed Saddiq dilimpahi kebahagiaan.

“Saya sangat gembira dan bangga dengan Bella. Saya pasti YB (Syed Saddiq) akan menjaganya dengan baik. Saya juga terharu kerana akhirnya Bella sudah menemui insan yang menghargai dirinya.

“Dalam perkahwinan, kita perlu sentiasa mendoakan yang terbaik untuk satu sama lain.

“Walau apa pun yang berlaku, kita perlu sentiasa memilih satu sama lain setiap hari, selain banyak bersabar dan berkongsi,” katanya.

Terdahulu, Syamim berkongsi beberapa gambar termasuk membawa dulang hantaran pada majlis pernikahan Bella serta Syed Saddiq di Menara Merdeka 118 pada 10 Oktober lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok