Saya dah cukup sabar dengan gangguan, ugutan – Intan Najuwa

TIDAK dapat menahan sabar, pelakon Datin Intan Najuwa menggesa individu yang sering mengganggu dirinya untuk menghentikan tindakan gangguan terhadap dirinya.

Tegas Intan atau nama lengkapnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 29, individu terbabit bukan sahaja mengganggu malah melampaui batas dengan ugutan mengancam nyawanya.

“Individu di belakang ini adalah seorang lelaki. Hari ini, dia kembali tapi kali ini dengan komen mengancam untuk bunuh saya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kepada sesiapa sahaja di sebalik akaun palsu ini, sila hentikan perbuatan serta-merta. Saya sudah cukup bersabar dengan gangguan, ugutan dan pencerobohan privasi.

“Sila ambil maklum bahawa ugutan bunuh dan gangguan berterusan adalah perkara serius,” katanya dalam InstaStory.

Dalam masa sama, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya perkara terus masih berlanjutan demi menjaga keselamatan keluarganya.

“Jika saya meneruskan laporan polis dan tindakan undang-undang, anda mungkin berdepan dengan hukuman yang berat.

“Saya mempunyai hak sepenuhnya untuk melindungi keselamatan, privasi dan keluarga saya. Perkara ini mesti dihentikan,” tegasnya.

Selain itu, Intan turut memaklumkan bahawa individu terbabit turut mengganggu rakan-rakannya dan juga pejabat pusat ekuestrian di ibu kota bagi mencarinya.

Hari ini dia muncul balik selepas berbulan-bulan mendiamkan diri. Sebelum ini, individu ini mengganggu saya hampir setiap hari melalui DM (mesej langsung).

“Bukan hanya saya, dia juga DM dan emel semua kawan-kawan saya.

“Sampai tahap dia menghubungi pejabat Kuala Lumpur Polo Club hampir setiap hari hanya untuk mencari saya, mahu untuk bercakap dengan saya dan mengugut saya dengan pelbagai perkara,” jelasnya.

Dalam hantaran sama, ibu kepada dua orang anak itu menyertakan tangkap layar ugutan daripada individu terbabit yang ingin membunuhnya.

“Belikan saya komputer, kalau tidak saya bunuh awak,” tulisnya dalam Threads. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok