RATU rock, Ella mendedahkan dia pernah nekad untuk berhenti menyanyi selepas bapanya, Aminuddin Manap, meninggal dunia pada 1990-an.
Menurut Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin, 60, kehilangan bapa yang amat disayanginya ketika itu sangat perit untuk dilalui.
“Ketika itu memang saya rasa tak nak menyanyi dah. Arwah meninggal ketika berusia 62 tahun. Dia banyak memberikan sokongan kepada saya,” katanya ketika ditemui pada majlis penghargaan Sri Wirama, di sini, semalam.
Pengurus dan kakak kandung Ella, iaitu Jojie turut mendedahkan perkara tersebut dalam sebuah video.
Menurut Jojie, Ella sangat sedih dengan kematian bapa mereka dan akan menangis setiap hari.
“Pada hari kematian bapa, hari itu saya lihat Ella bukan lagi Ella. Dia sangat sedih. Hari-hari dia menangis. Itu adalah titik terendah dalam hidupnya.
“Dia juga beritahu saya dia nak berhenti menyanyi. Tetapi saya pujuk dia supaya teruskan kerjayanya sebagai penyanyi,” ujarnya.
Berkat tidak putus asa, hari ini Ella menjadi antara penyanyi paling berjaya di Malaysia. Gelaran ratu rock negara masih kekal menjadi miliknya.
Baru-baru ini juga Ella menerima pengiktirafan di Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) apabila diberikan Anugerah Sri Wirama di atas jasa dan sumbangannya dalam bidang muzik selama empat dekad.
Bagi menghargai setiap individu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaannya, Ella menganjurkan sebuah majlis khas untuk mengenang jasa insan-insan yang banyak membantu kerjayanya.
Seramai 51 penggiat industri termasuklah komposer, wakil syarikat rakaman, penyanyi, wartawan, pengarah filem, penganjur konsert, pegawai perhubungan awam, dan juru solek menerima penghargaan daripada Ella.
Antara yang hadir ialah Datuk M.Nasir, Datuk Ramli Sarip, Datuk Amy Search, Datuk Habsah Hassan, Datuk Wah Idris, Edrie Hashim, Tam Spider, Sam Bunkface dan AG Coco. – HIBGLAM

