Luar biasa! Hantaran Syed Saddiq, Bella Astillah curi perhatian

MENZAHIRKAN rasa cinta, dulang-dulang hantaran pada majlis pernikahan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq dan pelakon Bella Astillah mencuri perhatian ramai hari ini.

Pada majlis pernikahan yang berlangsung di Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur, Syed Saddiq menghadiahkan tujuh hantaran yang setiap satunya membawa maksud istimewa kepada isteri tercinta.

Hantaran yang diserahkan Syed Saddiq kepada Bella dan anak-anaknya, Ayden Adrean serta Ayra Adreanna terdiri daripada emas berbentuk Gunung Kinabalu bersama sebentuk cincin, pasca siswazah Sarjana Komunikasi, Fakulti Komunikasi Taylors Universiti dan sebuah gimnasium lengkap dengan peralatan di kediaman mereka nanti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak itu sahaja, Syed Saddiq juga memberi sebuah basikal, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja berjumlah RM100,000, insurans, kerusi urut dan pakej umrah untuk belahan jiwanya itu.

Sementara, Bella pula membalas sembilan dulang yang berisi sebentuk cincin, sepasang kasut, al-Quran dan sejadah, minyak wangi, e-book, coklat, beg laptop, tiket penyertaan Ultra Man serta logo Ultra Man Malaysia bersalut emas 999.

Hari ini, pasangan yang diberikan julukan BASS itu selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi.

Pasangan ini dinikahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Majlis bertemakan Arab dan putih itu dihadiri kira-kira 300 tetamu termasuk ahli keluarga serta teman rapat pasangan itu.

Beberapa tetamu ternama juga turut hadir iaitu Khairy Jamaluddin, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Nancy Shukri, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Ismail Sabri.

Pasangan sama cantik sama padan itu mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.

Pemilik nama lengkap Dayang Nabellah Awang Astillah sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada September 2016.

Pasangan itu pernah bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum rujuk semula dan akhirnya berpisah kali kedua pada Mac 2024.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden, 9, dan Ara, 6. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok