‘Dakwaan ketelusan pembayaran royalti perlu disiasat berdasarkan fakta’

PERSATUAN Industri Rakaman Malaysia (RIM) menegaskan peningkatan kutipan royalti industri muzik tidak bermakna semua artis menerima pendapatan sama rata, sebaliknya bergantung pada jumlah penstriman, penggunaan karya dan hak yang diwakilkan kepada organisasi pengurusan kolektif (CMO).

RIM berkata, kenyataan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) perlu diperbetulkan berhubung ketelusan kutipan dan pengagihan royalti serta keperluan pembiayaan kerajaan dalam memajukan industri muzik tempatan.

“Pencipta karya dan rakaman yang memperoleh strim serta penggunaan tinggi pengguna sememangnya akan menerima bahagian lebih besar berbanding pencipta karya dan rakaman kurang distrim atau kurang digunakan pemegang lesen muzik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi pendapatan yang lebih rendah bagi segelintir pencipta tidak menafikan hakikat bahawa pencipta muzik Malaysia kini memperoleh lebih banyak royalti berbanding sebelum ini daripada platform digital dan CMO,” katanya dalam satu kenyataan

Mengenai kebimbangan artis veteran dan artis yang masih aktif berkaitan kelewatan atau ketidakjelasan pembayaran royalti, Rosmin berkata, Karyawan digesa mengenal pasti pihak yang menguruskan royalti terbabit sama ada syarikat rakaman, penerbit muzik atau CMO.

“Kenyataan umum mengenai pembayaran royalti yang lewat, tidak jelas atau tidak dapat dijelaskan, serta dakwaan maklumat pengiraan dan pengagihan kutipan tidak mencukupi, hanya menyebarkan tanggapan tidak tepat seluruh industri muzik mempunyai masalah akauntabiliti.

“Tanggapan sedemikian boleh memberikan kesan negatif terhadap pembuat dasar.

“Kebimbangan mengenai pembayaran royalti kepada artis tertentu perlu disiasat berdasarkan fakta dan situasi, bukannya dijadikan bukti bahawa keseluruhan sistem kutipan dan pengagihan royalti industri muzik tidak telus,” jelasnya.

Mengenai tuntutan supaya CMO menerbitkan laporan kutipan dan pengagihan royalti yang boleh diaudit, RIM mendakwa laporan berkenaan sudah diberikan kepada ahli setiap kali pembayaran dibuat, termasuk butiran sumber pendapatan dan jumlah royalti yang diterima.

Katanya, ahli juga boleh menghubungi pegawai CMO masing-masing bagi mendapatkan penjelasan mengenai pengiraan serta pengagihan royalti, selain mengesahkan penyata pendapatan mereka.

Rosmin turut menggesa Karyawan mendedahkan senarai keahliannya bagi membolehkan pihak berkaitan mengenal pasti ahli yang masih belum berdaftar dengan CMO bersesuaian.

Dalam perkembangan berkaitan, Rosmin juga menyentuh isu tindakan MACP, PPM dan RPM mencabar Garis Panduan Hak Cipta (Organisasi Pengurusan Kolektif) 2025 yang dikeluarkan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) melalui prosiding semakan kehakiman.

“RIM tidak akan mengulas mengenai merit kes tersebut selagi perkara itu masih dalam pertimbangan mahkamah.

“Bagaimanapun, kewujudan prosiding undang-undang tidak seharusnya ditafsirkan dengan sendiri sebagai bukti sesebuah organisasi menentang ketelusan atau perlindungan terhadap pencipta,” ujarnya.

Pada masa sama, RIM turut membetulkan dakwaan bahawa PPM merupakan badan kutipan miliknya dengan menegaskan organisasi berkenaan ialah entiti berasingan yang mempunyai keahlian serta lembaga pengarah sendiri.

Mengulas gesaan supaya industri memberi tumpuan kepada pasaran tempatan sebelum meluaskan pengaruh ke peringkat antarabangsa, RIM berpandangan kedua-dua usaha itu perlu berjalan serentak bagi memastikan pertumbuhan industri muzik lebih mampan.

Sehubungan itu, katanya pihak RIM mencadangkan penubuhan Dana Eksport Muzik Malaysia untuk menyokong penyertaan artis dalam pertunjukan muzik antarabangsa, promosi luar negara, pemasaran digital dan kerjasama bagi menembusi pasaran baharu.

Menurut Rosmin, kejayaan artis tempatan seperti Yuna yang pernah bekerjasama dengan bintang antarabangsa, Pharrell Williams dan Usher, serta Datuk Seri Siti Nurhaliza mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London membuktikan muzik Malaysia mempunyai potensi di pasaran global.

RIM turut mengetengahkan kejayaan Shila Amzah dan Firdhaus menembusi pasaran muzik pop Mandarin, selain pencapaian Heerraa Ravindran dan Tuni Sundatang yang masing-masing memenangi anugerah dalam kategori muzik rakyat di InterContinental Music Awards di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Begitupun, akuinya persatuan itu sedar pembangunan industri memerlukan pelaburan berterusan dalam pembangunan bakat, penerbitan, pemasaran dan akses kepada pasaran antarabangsa, dengan setiap pembiayaan awam perlu disertai matlamat serta hasil yang boleh diukur.

“Pembiayaan untuk pembangunan muzik mempunyai tujuan berbeza daripada kutipan dan pengagihan royalti. Pembiayaan menyokong penciptaan, promosi dan pembangunan muzik secara komersial, manakala kutipan serta pengagihan royalti memastikan pemegang hak menerima bayaran sewajarnya bagi penggunaan karya dan rakaman mereka,” katanya.

Selain itu, RIM menyokong keperluan supaya pembangun kecerdasan buatan (AI) mendapatkan lesen sewajarnya sebelum menggunakan karya kreatif yang dilindungi hak cipta bagi tujuan pembangunan teknologi secara komersial.

Rosmin menegaskan usaha memperkukuh perlindungan hak cipta, ketelusan pengagihan royalti, pasaran domestik dan peluang antarabangsa perlu dilaksanakan secara seiring bagi memastikan industri muzik Malaysia terus berkembang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok