PENYANYI Farah Diana Anuar teruja apabila impiannya untuk menyertai Gegar Vaganza Fantasia (GVF) akhirnya tercapai selepas sekian lama menantikan peluang beraksi dalam pertandingan tersebut.
Farah, 41, mengakui menitiskan air mata bersama keluarga sebaik sahaja mengetahui dirinya terpilih menyertai pertandingan itu menerusi posisi kerusi panas.
“Terkejut apabila dapat tahu Jumaat lalu. Saya sempat peluk dan menangis dengan suami dan anak-anak.
“Selepas itu, barulah saya telefon ibu bapa dan adik-beradik. Memang saya mengharapkan peluang untuk masuk.
“Dah lama saya tanya nak masuk GV sejak musim kedua. Waktu itu, katanya memang tidak mengambil bekas pelajar AF. Saya pun pasrah,” katanya kepada HibGlam semalam.
Meskipun pernah kecewa, pelantun lagu Tangisan Dalam Kerinduan itu tidak pernah berputus asa, sebaliknya mencari platform lain untuk terus berkarya, termasuk menerusi media sosial.
Apabila dapat jawapan tiada peluang, saya anggap mungkin bukan rezeki saya di situ.
“Maksudnya, saya carilah platform lain. Sekarang pun ada macam-macam media sosial.
“Tetapi alhamdulillah, nampaknya rezeki saya memang di sini juga,” ujarnya.
Mengulas sebab menyertai GVF, Farah mengakui amat merindui bidang nyanyian selepas kebelakangan ini lebih memberikan tumpuan kepada kerjaya pengacaraan.
“Bila sampai tahap GVF, inilah masanya untuk saya kembali beraksi.
“Saya rindu sangat nak menyanyi. Sebelum ini, saya banyak menerima tawaran mengacara dan membuat persembahan korporat.
“Orang tidak tahu saya masih lagi menyanyi. Jadi, saya rindu nak kembali membuat persembahan,” katanya.
Semalam, Farah diumumkan sebagai antara empat peserta yang berjaya mengisi kekosongan di posisi kerusi panas GVF.
Selain Farah, tiga lagi bekas peserta Akademi Fantasia (AF) yang turut melayakkan diri ialah Akim, Felix dan Ara Johari.
Mereka akan bersaing bersama sembilan peserta lain iaitu Mawi (AF3), Vince (AF1), Faizal (AF4), Shahir (AF8), Mila Jirin (AF5), Stacy (AF6), Zahid (AF2), Faizul Sany (AF2013) dan Firman Bansir (AF2014). – HIBGLAM

