Filipina juara Eurovision Asia, Aina Abdul tempat keempat

BIARPUN tewas kepada wakil Filipina, Thailand dan Vietnam, penyanyi Aina Abdul tetap menjadi juara di hati rakyat Malaysia apabila berjaya menduduki tempat keempat pertandingan Eurovision Song Contest Asia 2026 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, hari ini.

Pemilik nama penuh Nurul Aina Abdul Ghani, 33, yang tampil dengan tema titisan air, akur apabila meraih 152 markah keseluruhan menerusi undian orang ramai dan juri profesional.

Wakil Filipina, Carmelle Collado yang mendendangkan lagu Sobra Sobra, berjaya menambat hati penonton dan juri profesional dari 10 negara apabila meraih markah tertinggi sebanyak 211 mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, berdasarkan keputusan undian juri profesional setiap negara, Filipina menduduki tangga pertama dengan 93 markah, diikuti Vietnam (83 markah) dan Malaysia (82 markah).

Pada pertandingan tersebut, Aina mempertaruhkan lagu terbaharu ciptaannya sendiri berjudul Bluest Sky yang disampaikan dalam bahasa Inggeris.

Lagu berkenaan diinspirasikan daripada kisah sebenar yang menggambarkan luahan perasaannya mengenai cinta dan kasih sayang.

Pentas kemuncak Eurovision Asia 2026 yang berlangsung di Bangkok itu turut menyaksikan penyertaan wakil dari beberapa negara lain termasuk Thailand, Korea Selatan, Filipina, Vietnam, Bangladesh, Kemboja dan Bhutan.

Terdahulu, Aina dipilih mewakili Malaysia selepas memenangi kategori Persembahan Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) pada Ogos lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok