‘Kenapa album tak boleh ada lima atau tujuh lagu?’

DILABELKAN menghasilkan karya separuh masak kerana hanya memuatkan tujuh lagu dalam album terbaharu, ATMA, penyanyi Ernie Zakri menegaskan jumlah trek bukan penentu utama mutu sesebuah album.

Ujar Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 34, dia percaya kebebasan berkarya perlu diraikan tanpa terikat pada format konvensional, apatah lagi setiap lagu dalam album berkenaan mempunyai peranan tersendiri dalam menyampaikan naratif serta emosi kepada pendengar.

“Apabila menjadi penyanyi, kita turut diberi kebebasan untuk berkarya. Mungkin pada zaman penyanyi senior saya dahulu, album dengan 12 atau 15 lagu menjadi kebiasaan industri muzik.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apabila beli kaset, pendengar tidak boleh terus melangkau ke lagu seterusnya dengan mudah. Mereka perlu dengar keseluruhan karya.

“Sekarang, pendengar mempunyai banyak pilihan. Kita boleh mengeluarkan album dengan 10 atau lapan lagu, tetapi akhirnya mereka sendiri memilih lagu kegemaran untuk didengari,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Aura itu, tiada ketetapan khusus mengenai jumlah lagu untuk menghasilkan album bermutu kerana setiap artis mempunyai pendekatan serta hala tuju kreatif tersendiri.

“Kenapa tidak boleh ada lima atau tujuh lagu, atau kita menghasilkan EP sahaja? Itu juga satu bentuk seni. Jangan kita meletakkan batasan atau peraturan terlalu ketat kerana kreativiti memerlukan kebebasan serta ruang untuk berkembang.

“Ada artis percaya album mereka perlu mempunyai 10 lagu dan itu pilihan masing-masing. Kita kena yakin dengan hasil kerja sendiri. Kalau ATMA ada tujuh lagu, maka tujuhlah. Kalau lima lagu utama, maka lima lagu utamalah,” ujarnya pada sidang media album tersebut, di sini, semalam.

Paling penting kata pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) itu, dia tidak bersetuju dengan amalan memasukkan lagu pengisi atau filler song semata-mata untuk mencukupkan jumlah trek dalam sesebuah album.

“Saya tidak percaya pada lagu pengisi. Ada orang bertanya sama ada album ini tidak mempunyai lagu pengisi. Bagi saya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Mengapa perlu memasukkan lagu semata-mata untuk mencukupkan jumlah trek?

“Bagaimana perasaan komposer apabila kita memberitahu hasil ciptaannya sekadar lagu pengisi untuk memenuhi kuota album? Bukankah itu seolah-olah kita tidak menghargai usaha mereka?

“Saya pernah mempunyai beberapa lagu pengisi dalam album terdahulu. Kita sudah menyanyikan lagu itu dengan baik, tetapi akhirnya orang tidak mengenalinya. Bagi saya, keadaan itu tidak adil,” ungkapnya.

Mengulas lanjut mengenai ATMA, isteri kepada penyanyi Syamel itu berkata ketujuh-tujuh lagu dalam album berkenaan saling berkait dan membentuk sebuah perjalanan emosi, justeru, pendengar disaran menikmati karya itu secara berurutan bagi memahami keseluruhan penceritaan.

“Tiada lagu pengisi dalam ATMA kerana trek pertama hingga ketujuh merupakan sebahagian daripada jalan cerita album ini. Jadi, rugilah kalau pendengar melangkau trek ketiga atau keempat kerana naratifnya mungkin tidak lagi lengkap.

“Album ini ibarat sebuah buku. Kalau kita melangkau beberapa bahagian ketika membaca, kita mungkin tidak dapat memahami keseluruhan cerita. Begitu juga dengan ATMA, setiap lagu mempunyai tempat dan peranannya sendiri,” jelasnya.

Terdahulu, penghasilan ATMA menjadi perhatian selepas seorang individu mempersoalkan jumlah lagu dalam album berkenaan, malah menyifatkannya tidak cukup lengkap untuk dianggap sebagai sebuah album penuh.

Individu itu turut mendakwa Ernie seolah-olah terburu-buru menerbitkan album tanpa memperincikan kandungannya secara menyeluruh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok