BEKAS pengurus meninggal dunia, penyanyi Zamani tidak dapat menahan sebak apabila menghadiri majlis pengurusan jenazal Allahyarham Johan Aziz hari ini.
Menerusi sekeping foto, pemilik nama penuh Zamani Ibrahim, 55, dia dilihat duduk di sebuah kerusi di samping individu lain bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang sudah lebih dua dekad bersama kumpulan Slam.
Zamani sebelum ini pernah memberitahu keakrabannya dengan Allahyarham salisng tidak tumpah seperti hubungan adik-beradik sebelum tercetus beberapa konflik yang membuatkan Johan tidak lagi menguruskan kerjaya seninya.
Allahyarham yang juga bekas pengurus kumpulan Exists hari ini menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.20 tengah hari di kediamannya di Ampang Jaya, Selangor pada usia 61 tahun.
Jenazah arwah Johan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang Jaya, Selangor selepas solat Asar hari ini.
Selain Zamani, antara yang hadir beberapa anggota kumpulan Slam lain iaitu Shah dan Eddie, komposer Aidit Alfian dan ahli kumpulan Exists.
Dia juga sebelum ini disahkan menghidap kanser usus pada 2018 sebelum didiagnos dengan kanser tulang.
Pada Jun lalu, keadaan Johan didakwa kritikal dan menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM). Kuala Lumpur sebelum dilaporkan stabil dan dibenarkan pulang.
Sebelum ini, Johan merupakan antara individu yang menubuhkan Slam sekitar tahun 1993 yang juga berperanan menaikkan nama kumpulan tersebut di persada seni tanah air. – HIBGLAM

