’Alasan tiada persefahaman lebih mudah, beritahu mahkamah tiada titik persamaan’

PELAKON Diana Danielle mencuit perhatian ramai apabila mempersoalkan maksud sebenar alasan tiada persefahaman yang didakwa menjadi antara punca perceraian pasangan suami isteri di Malaysia.

Diana, 34, berkata, dia memahami alasan perpisahan disebabkan pasangan curang atau tidak bertanggungjawab, namun tertanya-tanya maksud sebenar tiada persefahaman.

Malah, ibu kepada dua cahaya mata itu secara berseloroh mengemukakan persoalan sama ada perkara kecil seperti tidak mengepam tandas selepas membuang air besar juga boleh menjadi penyebab.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Punca perceraian di Malaysia mengikut data daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), tiada persefahaman, pasangan curang dan pasangan tidak bertanggungjawab.

Nombor dua dengan tiga aku faham lagi. Nombor satu itu boleh kalian kongsi, tiada persefahaman itu sebab apa? Berak tak flush ke?” katanya menerusi perkongsian di Threads.

Bagaimanapun, pelakon filem Imaginur itu kemudian menjelaskan bahawa alasan sedemikian boleh menjadi jalan lebih mudah bagi pasangan yang mahu menamatkan perkahwinan tanpa perlu mendedahkan permasalahan rumah tangga secara terperinci.

Menurutnya, dakwaan berkaitan kecurangan atau sikap tidak bertanggungjawab pasangan lazimnya memerlukan bukti serta melalui proses tertentu yang boleh memanjangkan urusan perpisahan secara rasmi.

“Bukan semua orang sanggup nak gali segala benda. Proses lagi lama. Tiada persefahaman itu prosesnya lebih mudah.

Beritahu mahkamah kedua-duanya tidak dapat mencari titik persamaan atau ketenangan dalam perkahwinan, yang tinggal hanya pertengkaran dan tekanan mental,” ujarnya.

Perkongsian tersebut membuka ruang perbincangan netizen mengenai maksud di sebalik alasan tiada persefahaman yang sering digunakan pasangan ketika berdepan keretakan rumah tangga.

Dipercayai perkongsian itu dibuat di media sosial selepas seorang netizen memetik data daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyenaraikan beberapa punca perceraian. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok