PELAWAK dan usahawan Shuib Sepahtu memohon maaf secara terbuka kepada bekas rakan sekumpulannya, Jep Sepahtu susulan kontroversi yang tercetus selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran dalam audio siar, Dol’s Podcast baru-baru ini.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad mengakui melalui tempoh sukar sejak tercetusnya kontroversi tersebut sehingga mengundang pelbagai kecaman bukan sahaja terhadap dirinya, malah isteri, anak-anak, keluarga dan perniagaannya.
“Hampir seminggu saya mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang kenyataan tentang apa yang berlaku antara saya dan juga Jep.
“Dari hari pertama kenyataan Jep dikeluarkan iaitu pada 8 Oktober sampailah ke hari ini, saya kira saya melalui satu tempoh yang sangat sukar.
“Saya diperli, dimaki, dihina, dikecam dan perkara itu bukan sahaja berlaku kepada saya tetapi turut melibatkan isteri saya, Watie Hanafiah, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan,” katanya dalam sebuah video hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Shuib menjelaskan dia sebenarnya sudah menghubungi Jep secara peribadi untuk memohon maaf berhubung tindakannya menyindir pelawak berkenaan dalam sebuah program audio siar.
Menurutnya, mesej permohonan maaf itu dihantar menerusi aplikasi WhatsApp, kurang 24 jam selepas Jep mengeluarkan kenyataan pada 8 Oktober lalu.
Jelas Shuib, mesej berkenaan dihantar pada pukul 1.51 pagi, Jumaat, sebagai tanda kesal terhadap kekhilafan dirinya dan Mamat ketika menjayakan Dol’s Podcast dalam episod yang turut menampilkan Azlee Senario.
“Hal pertama, aaya nak maklumkan bahawa tidak sampai 24 jam, iaitu pada pukul 1.51 pagi, hari Jumaat, saya telah pun menghantar mesej WhatsApp kepada Jep dengan penuh rendah diri untuk memohon maaf atas kekhilafan saya dan juga Mamat menyindir dia dalam Dol’s Podcast episod bersama dengan Azlee Senario.
“Saya kira dia telah pun menerima WhatsApp tersebut dan mungkin telah membacanya, wallahualam. Saya amat kesal dan memohon maaf kepadanya berulang kali.
“Saya anggap ini ujian untuk saya dan balasan atas kekhilafan saya dalam berkata-kata,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Shuib turut menyentuh isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menjelaskan bahawa syarikat berkenaan kini sedang melunaskan bayaran secara ansuran kepada KWSP dan setakat ini pembayaran tersebut sudah berjalan selama 10 bulan.
Menurutnya, bayaran ansuran itu bermula Januari lalu dan dijangka masih berbaki 14 bulan lagi sebelum keseluruhan komitmen berkenaan diselesaikan.
“Yang kedua, saya ingin menyatakan tentang KWSP.
“Alhamdulillah, Bubblebee telah pun membuat bayaran ansuran selama 10 bulan kepada KWSP bermula bulan Januari sampailah sekarang dan insya-Allah akan berbaki lagi 14 bulan,” jelasnya.
Shuib turut mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada semua pihak yang berasa kurang senang atau tidak bersetuju dengan tindakan serta kenyataannya dalam Dol’s Podcast.
“Ketiga, saya mohon maaf kepada semua yang mungkin marah dan rasa tak patut dengan apa yang saya buat dalam Dol’s Podcast.
“Saya sedar saya manusia yang tidak sempurna, selalu berbuat salah dan buat dosa. Jadi saya mohon maaf atas kekhilafan sendiri,” jelasnya lagi.
Dalam video sama, Shuib menegaskan bahawa dia tidak menyimpan sebarang rasa dendam terhadap individu yang mengecam dirinya selain menganggapnya sebagai kifarah terhadap segala yang berlaku.
“Yang keempat, saya menghalalkan dan memaafkan sesiapa sahaja yang mengecam, menghina atau memfitnah saya, isteri, anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya.
“Saya anggap ini adalah ujian dan balasan atas kekhilafan saya yang telah pun saya lakukan,” katanya.
Bagaimanapun, pelantun dan pelawak itu merayu agar orang ramai tidak terus membuat andaian, melontarkan kata-kata kesat atau menyebarkan fitnah yang turut mengheret ahli keluarganya ke dalam kemelut berkenaan.
“Yang kelima, saya mohon, saya mohon, saya mohon sangat-sangat, berhentilah membuat apa-apa lagi andaian, kecaman, makian ataupun fitnah terhadap saya, isteri saya, Watie, anak-anak, keluarga saya dan juga perniagaan saya.
“Sepah Penyet, Bubblebee, Nusara Foods Sambal Hitam ialah perniagaan yang sah, halal dan inilah sumber pendapatan keluarga saya sekarang.
“Inilah yang saya jalankan sekarang untuk membayar segala hutang syarikat, iaitu Bubblebee.
“Janganlah kerana marahkan saya, isteri, anak-anak dan keluarga saya turut terlibat. Mereka tidak bersalah, saya yang bersalah dalam perkara ini. Janganlah juga kerana benci kepada saya, perniagaan saya diboikot sedangkan perniagaan saya sah dan halal,” katanya.
Shuib turut menjelaskan bahawa perniagaan yang diusahakannya ketika ini menjadi sumber pendapatan keluarga selain membantunya melunaskan komitmen syarikat.
“Yang keenam, video ini khas untuk Jep. Kalau kau tengok video ini, aku mohon maaf dok (panggilan untuk Jep).
“Kita kenal dekat 20 tahun, hampir separuh daripada hidup aku. Aku takkan boleh menidakkan kenangan yang telah pun kita bina selama ini, dok.
“Selama kita bekerjasama, susah senang yang kita pernah lalui, kejayaan yang pernah kita capai dan semuanya akan aku simpan sebagai satu kenangan yang paling indah dalam hidup aku,” katanya ;agi.
Shuib turut menitipkan doa buat Jep dan seluruh keluarganya agar sentiasa dipermudahkan dalam segala urusan serta mendapat rahmat Allah SWT.
“Aku doakan kau, dok, aku doakan kau Allah mudahkan segala urusan. Aku doakan kau dan juga keluarga engkau, isteri engkau, Sari Yanti, aku doakan anak-anak engkau, aku doakan keluarga engkau, Allah mudahkan, Allah rahmati dunia dan akhirat.
“Semoga Allah akan menguruskan segala permasalahan kita dengan baik. Aku minta maaf, Mohd Nadzri bin Zainal Abidin. – HIBGLAM

