ADA kisah cinta yang tidak memerlukan pengumuman besar untuk mencuri perhatian. Cukup dengan sekeping foto, bahasa tubuh yang mencetuskan persoalan atau sebaris kata-kata yang mengundang tafsiran, dunia hiburan boleh ‘ribut’ dengan pelbagai spekulasi.
Begitulah kisah yang mengiringi dua nama besar dalam industri muzik tempatan, Hael Husaini dan Dayang Nurfaizah.
Persahabatan, keserasian dan hubungan profesional mereka yang sekian lama menjadi perhatian peminat kini sekali lagi mencetuskan tanda tanya. Benarkah kedua-duanya sudah mendirikan rumah tangga secara senyap-senyap?
Persoalan begitu bukanlah sesuatu yang baharu. Setiap kali Hael dan Dayang muncul bersama, pasti ada peminat yang cuba meneliti setiap gerak-geri, mencari petunjuk yang mungkin dapat merungkai status sebenar hubungan mereka.
Paling mencuri tumpuan pastinya kejadian yang berlaku ketika Konsert Cuckootopia hujung minggu lalu.
Video yang kini tular dalam media sosial mempamerkan Hael seolah-olah memperkenalkan Dayang sebagai isterinya kepada bintang Korea Selatan, Lee Jun-Ho menerusi gerak bibir yang dianalasis peminat.
Lebih menguatkan spekulasi berkenaan, apabila timbul dakwaan bahawa pasangan terbabit melangsungkan perkahwinan secara tertutup, malah ada yang mengaitkannya dengan majlis yang dikatakan berlangsung pada Jun lalu.
Beberapa rakan selebriti dan orang kuat industri yang rapat dengan pasangan itu dikatakan muncul dalam sebuah majlis di sebuah hotel di ibu kota memakai busana serba biru. Namun, masing-masing dilihat cuba berahsia dan tidak mendedahkan butiran terperinci tentang majlis tersebut.
Dakwaan berkenaan bagaimanapun masih belum dapat dianggap sebagai fakta kerana tiada pengesahan rasmi yang dapat dipastikan daripada kedua-dua penyanyi itu.

DILIHAT serasi, intim dan manja di mana jua berada, kini satu demi satu petunjuk ke arah kesahihan spekulasi perkahwinan ‘senyap’ Hael Husaini dan Dayang Nufaizah semakin boleh disaksikan semua.
Sekeping foto, seribu persoalan
Dalam era media sosial, sekeping foto mampu mencetuskan perbincangan yang melangkaui konteks asalnya.
Penampilan seseorang selebriti dalam busana putih misalnya, mudah mengundang persoalan apabila peminat mengaitkannya dengan simbol perkahwinan. Begitu juga apabila foto atau video yang memaparkan dua selebriti bersama mula tersebar tanpa penjelasan terperinci.
Situasi sedemikian memperlihatkan betapa besarnya pengaruh media sosial dalam membentuk persepsi masyarakat terhadap kehidupan peribadi selebriti.
Bagi Hael dan Dayang, setiap kemunculan bersama seolah-olah membuka semula ruang untuk peminat membuat pelbagai tafsiran. Masing-masing pula tidak segan silu lagi mempamerkan kemesraan mereka persis pasangan bercinta.
Justeru, bila pasangan yang rapat seperti belangkas terpalit dengan gosip sudah mendirikan rumahtangga, kebarangkalian untuk berita itu adalah benar tetap ada.
Sifirnya mudah, jika tidak, tampil nafikan dakwaan berkenaan. Usah biarkan peminat dan media berteka-teki. Permainan teka-teki memang banyak jawapannya.
Media bukan musuh
Media bukan musuh kepada selebriti. Perkara baik haruslah dikongsikan. Jika mahu merahsiakan sehingga tiba tempoh yang sesuai, sekurang-kurangnya beritahu pada media. Bukan hanya nampak media tiap kali ingin melancarkan produk baharu.
Dalam setandan pisang, tidak semuanya busuk. Namun, dalam ramai-ramai tetamu, tidak semuanya mampu menjaga rahsia dengan baik.
Nakalnya, ketika zaman serba canggih ini, dinding juga punya mata dan telinga. Kehidupan di planet lain juga manusia boleh terokai, apatah lagi apa yang berlaku di sebalik tembok sebuah hotel.
Sebelum ini ada juga beberapa selebriti terkenal tanah air yang pernah merahsiakan perkahwinan mereka. Namun, tembelang pecah jua akhirnya apabila si isteri disahkan hamil dan rekod pendaftaran perkahwinan didedahkan.
Mungkin setiap pasangan ada alasan tersendiri kenapa mereka mahu merahsiakan perkahwinan mereka daripada pengetahuan umum. Namun, dengan membelakangkan media, maknanya media juga dianggap umum.
Jadi jangan melenting apabila ada orang umum yang berkongsi maklumat kepada orang umum kerana tidak semua perkara mampu dikawal, kecuali dibayar. – HIBGLAM

