AKTRES Fazura mendedahkan dia tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata usai merakam single terbaharunya, Kisah Terbaik kerana terkenang perjalanan hidupnya terutama dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Fazura berkata, terlalu banyak dugaan dilaluinya sebelum ini yang tidak dikongsi kerana memilih untuk nampak kuat di mata khalayak.
“Perjalanan nak sampai keadaan sekarang ini, ada ujian daripada Allah, liku-liku dan yang buat saya sedih serta sayu ialah apabila melihat semua yang dilalui dalam hidup terutama tempoh dua tahun lalu.
“Banyak liku-liku hidup, mungkin luaran orang nampak saya okey. Sebagai seorang pelakon atau wanita kuat macam saya, akan selalu ada di satu masa yang mahu semua orang nampak saya kuat.
“Tapi saya manusia biasa juga. Ada dugaan hidup yang sukar nak digambarkan, memang sangat menyedihkan, melukakan dan sangat berat untuk nak sampai di tahap ini. Alhamdulillah sekarang sudah semakin gembira, tenang serta bahagia,” katanya dalam satu temu bual bersama Hot FM semalam.
Kongsinya lagi, dia sentiasa meminta bantuan Allah SWT diberikan kekuatan untuk menempuh setiap dugaan.
“Orang kata klise tapi ini betul. Nombor satu adalah minta pertolongan daripada Allah. Memang pertolongan dan kekuatan hanya datang daripada Dia.
“Nombor dua, saya miliki ‘support system’ yang baik iaitu keluarga dan teman-teman rapat. Kemudian paling penting dalam hidup saya ialah peminat.
“Bukan sahaja peminat sedia ada tetapi juga ‘silent supporters’ sehingga buat saya tertanya-tanya siapa mereka yang Allah hantar, ibarat tentera Allah hantar untuk sokong dan pertahankan saya,” katanya lagi.
Kisah Terbaik merupakan ciptaan komposer Aiman Sidek yang dihasilkan istimewa dan dibingkiskan khusus dari perjalanan hidup Fazura.
Difahamkan Kisah Terbaik bakal dilancarkan di semua platform penstriman esok (3 Julai). – HIBGLAM
