MEGAH bersiaran persis Oscars jika di Hollywood, malam Anugerah Seri Angkasa 2026 (ASA2026) yang sekali lagi melabuhkan tirai pada hujung minggu lalu membuktikan satu kenyataan. Jika di tangani dengan genius dan dikepalai pembuat keputusan yang tepat, sebuah acara yang selama ini dilihat kurang menyengat mampu gah bertaring emas.
Tepukan buat ASA2026 yang terlihat sedang di landasan tepat, baik dari segi visual dan repertoire acara. Berkelas!
Itulah ASA2026 yang memahat sejarah tersendiri dalam lembaran kamus kerjaya penggiat seni dan dunia penyiaran tanah air.
Segala teka-teki kini terjawab, menyaksikan pengiktirafan menjadi milik mereka yang benar-benar layak selepas memberi segala keringat, bakat dan dedikasi demi mengangkat karya tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
Antara momen ‘mahal’ pada penganjuran kali ini adalah apabila Datuk Rahim Razali diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa bagi mengiktiraf dan penghargaan terhadap sumbangan serta jasa besarnya dalam industri seni tanah air sepanjang bergelar anak seni.
Tidak lokek berkongsi nasihat kepada generasi muda, figura yang hampir tujuh dekad mengabadikan jiwa di pentas seni itu berkata, minat semata-mata tidak mencukupi untuk membina kerjaya sebaliknya perlu hadir seiring dengan kesungguhan mencari ilmu dalam setiap aspek.
Katanya, kehadiran ramai bakat muda dalam industri lakonan dan perfileman adalah satu perkembangan positif, namun perlu diiringi keikhlasan.
“Bagus apabila melihat semakin ramai anak muda menceburi industri lakonan dan perfileman tetapi nasihat saya cuma satu iaitu jujurlah dengan diri sendiri serta minat yang dimiliki.
“Pastikan minat itu benar-benar tulen, bukan sekadar suka-suka. Kalau sudah masuk bidang ini, lakukan dengan serius dan jangan sambil lewa.
“Banyakkan membaca untuk menambah pengetahuan dan pengalaman selain memahami selok-belok penceritaan serta pembinaan watak. Semua itu perlu dipelajari atas usaha sendiri,” katanya yang yang mula berkecimpung dalam dunia seni sejak1959.

TIDAK hanya trofi penghargaan, Rahim Razaii turut membawa pulang sebuah kereta Proton E-Mas sumbangan DRB-HICOM.
Menyentuh soal kerjaya seni pada usia mencecah 87 tahun, dia tidak menolak tawaran berlakon, namun meletakkan limitasi dalam pergerakan dan tempoh penggambaran.
“Tawaran berlakon masih ada tetapi agak sukar untuk saya terima kerana sudah tidak mampu berada lama di lokasi.
Kalau penggambaran sehari dua mungkin masih boleh dipertimbangkan tetapi jika lebih daripada itu, saya sudah tidak larat.
“Usia saya pun sudah 87 tahun. Tiga tahun lagi genap 90 tahun, insya-Allah kalau Tuhan panjangkan umur,” katanya yang juga bekas pengulas sukan disegani ramai.
Tambah pengarah filem Abang itu, syarat tersebut bukan sengaja diberikan sebaliknya enggan membebankan produksi memandangkan kudratnya tidak segagah dahulu.
Kalau sedar tidak mampu melaksanakan tanggungjawab itu, saya akan berterus terang dan menolak tawaran secara baik,” ujarnya yang turut menerima sebuah kereta jenama Proton e-Mas7 pada malam ASA2026.
Rezeki antagonis
Lebih istimewa, ASA edisi ke-37 turut menyaksikan kemunculan Azhan Rani menjulang trofi Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik menerusi lakonan berkesannya membawa watak antagonis, Deris dalam naskhah Wok arahan Eyra Rahman.
Kemenangan bermakna itu disambut dengan rasa syukur dan rendah diri apabila Azhan mengakui tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk membawa pulang trofi berkenaan, apatah lagi apabila bersaing dengan Allahyarham Jalil Hamid dalam kategori sama.
Meskipun sering tercalon dalam anugerah berprestij, Azhan tidak pernah menganggap dirinya sebagai pelakon hebat, sebaliknya sentiasa menghargai setiap pengiktirafan yang diterima.
“Saya bukanlah dalam senarai yang selalu menggenggam trofi walaupun selalu tercalon dan memang sentiasa meraikan saja.
Terima kasih kepada yang menghargai bakat seni kami di depan dan juga di belakang kamera tanpa diskriminasi,” katanya.
Mengulas lanjut, Azhan, 50, bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk terus berkarya dan kekal relevan dalam industri seni, meskipun tidak tergolong dalam kelompok pelakon yang terlalu popular.
“Saya juga bukanlah dalam kelompok pelakon yang terlalu popular tetapi syukur masih relevan dari dulu hingga kini.
Berbanding dengan ramai lagi, saya sedar kawan-kawan saya yang bergelut sekarang ini untuk kekal relevan,” ujarnya.

ZAHIRIL Adzim membuktikan dirinya seorang pelakon versatil apabila dipilih sebagai Pelakon Komedi TV Terbaik.
Jelasnya, setiap tawaran lakonan yang diterima merupakan satu amanah dan tidak pernah dijadikan peluang untuk mengejar sebarang pengiktirafan atau ganjaran berbentuk trofi.
“Sebenarnya saya tak pernah berlakon untuk mendapatkan anugerah. Saya anggap tawaran lakonan sebagai amanah.
Setiap kali ditawarkan ruang untuk berlakon, itulah anugerah sebenar-benarnya kerana mampu berkarya dengan kelebihan dimiliki yang mungkin tidak ada pada orang lain,” katanya.
Tanpa timbang tara, dia juga berasakan kejayaan yang diraih hari ini adalah hasil doa orang ramai, sahabat-handai dan keluarga khususnya ibu serta arwah bapanya yang tidak pernah putus terhadap kerjaya seninya.
Pentas ASA2026 turut menyaksikan kehebatan Noorkhiriah yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Drama TV Terbaik menerusi watak wanita menghidap Sindrom Turner dalam naskhah Seribu Tahun, sekali gus mengetepikan saingan hebat seperti Fauziah Ahmad Daud, Mira Filzah dan Sharifah Sakinah.
Kedua-dua tonggak lakonan hebat, Noorkhiriah dan Azhan Rani masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berserta trofi kemenangan.
Bagi kategori pengarahan, Bade Haji Azmi cemerlang menjulang trofi Pengarah Drama TV Terbaik menerusi karya menyentuh emosi, Dosa Tak Terampun lakonan hebat Nad Zainal bersama Fauziah Ahmad Daud.
Naskhah sarat warisan tradisi Sarawak, Selampai Labung arahan Danny Alamsyah Adriansyah pula dinobatkan sebagai Drama TV Terbaik sekali gus membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM200,000 berserta trofi.
Tuah turut menyebelahi Baharunnurdalila Baharuddin apabila dokumentari Di Sebalik Bayangan Harimau dipilih sebagai Dokumentari TV Terbaik dengan membawa pulang imbuhan DKD sebanyak RM150,000.
Bagi kategori Pelakon Pembantu Drama TV Terbaik, trofi menjadi milik Harun Hashim (Bilal Dan Abah) dan Siti Elizad (Detik Waktu) yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM8,000 serta trofi.

SITI Elizad buat pertama menerima trofi tertinggi, Pelakon Pembantu Wanita Drama TV Terbaik menerusi naskhah Detik Waktu.
Sementara itu, Zahiril Adzim pula membuktikan dirinya layak digelar pelakon versatil apabila dinobatkan sebagai Pelakon Komedi TV Terbaik menerusi drama Ramadan I Miss You.
Tidak hanya meraikan bintang di depan lensa, ASA2026 turut mengangkat kerja seni penggiat di balik tabir menerusi pelbagai pengiktirafan kategori teknikal.
Semua itu termasuk warga kreatif seperti tatarias, produksi kamera dan suntingan audio TV diberi penghormatan selayaknya kerana menjadi nadi kekuatan setiap karya.
Penganjuran kali ini turut membuktikan keterbukaan industri dalam meraikan evolusi digital dengan usaha mewujudkan beberapa kategori media baharu seperti drama mikro dan podcast terbaik.
Pencipta kandungan animasi, Khiu Siaw Fong turut cemerlang menerima Anugerah Khas Juri pada malam tersebut.
Malam kemuncak ASA2026 bertemakan ‘Segalanya Bermula Di Sini’ yang dikemudikan hos versatil Datuk Aznil Nawawi dan Sherry Alhadad diserikan lagi dengan persembahan memukau barisan penyanyi ternama tanah air termasuk Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Aina Abdul, Aisha Retno, Ning Baizura dan Salamiah Hassan. – HIBGLAM

